TORRES herdik bekas kelabnya kerana mahu permintaannya ditunaikan termasuk menjadi ketua pasukan. FOTO Agensi
TORRES herdik bekas kelabnya kerana mahu permintaannya ditunaikan termasuk menjadi ketua pasukan. FOTO Agensi
Agensi

BELUM lagi beraksi namun sudah buat hal, apabila pemain baru Manchester City, Ferran Torres sudah melakukan perkara yang menyebabkan pengendali kelab terbabit Pep Guardiola tidak berpuas hati sekali gus menyaksikan permulaan yang kurang baik bagi bintang muda itu.

Pemain berasal dari Sepanyol itu dikatakan mengkritik kelab lamanya Valencia ketika dalam satu sesi temubual bersama wartawan dengan menyatakan pengurusan gagal memenuhi permintaannya sekali gus menyebabkan dia berhijrah ke pasukan lain.

Torres yang berpindah ke Manchester City dengan nilai 21 juta pound (RM114 juta) dan kontrak selama lima tahun turut terlalu terbuka mengkritik majikan lama serta juga bekas kaptennya.

Antara permintaan Torres adalah mahu pemilik Valencia, Peter Lim terbabit secara langsung dalam pembaharuan kontrak, selain mahukan lilitan kapten diberikannya dan menaikkan gaji sebagai pemain paling tinggi pendapatan dalam kelab terbabit

"Saya mahu pemilik kelab (Peter Lim) terbabit secara langsung berhubung pembaharuan kontrak bagi membuktikan saya amat berharga kepada mereka.

"Seterusnya saya mahukan jawatan kapten yang merupakan impian saya. Saya dah melihat banyak kelab lain melayan pemain muda mereka, misalnya (Mikel) Oyarzabal atau Fernando Torres, memberikan mereka kapten untuk mengekalkan pemain itu."

"Dan ketiga saya mahu menjadi salah seorang pemain dengan gaji paling tinggi dalam skuad. Saya tahu Valencia bukan dalam kedudukan terbaik untuk membayar pemain seperti mana kelab Eropah besar yang lain," katanya.

Selain itu, Torres tanpa berselindung turut menyatakan tidak menyukai kapten pasukan Dani Parejo kerana mendakwa hubungan mereka tidak rapat sejak beraksi bersama Valencia.

"Ketika saya menyertai pasukan utama, ketika itu saya berusia 17 tahun, ianya mengambil begitu lama untuk dia mengucapkan selamat pagi kepada saya," katanya.

Ungkapan tanpa berfikir dahulu itu jelas mengundang rasa tidak puas hati Guardiola yang mahukan pemain muda itu tidak mengkritik pasukan lain terutama membabitkan bekas kelabnya.

Malah, Guardiola mahu Torres fokus kepada isu lain membabitkan perpindahannya ke Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:52 PM