Arena Metro difahamkan, pengurusan tertinggi skuad Merah Kuning  bakal diketuai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Arena Metro difahamkan, pengurusan tertinggi skuad Merah Kuning bakal diketuai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Oleh Manan Samad dan Syazwan Msar


DUA pasukan gergasi bola sepak Liga Malaysia (Liga M), Selangor dan Pahang bakal dikuasai golongan bangsawan apabila kelab itu diswastakan bermula musim depan.

Arena Metro difahamkan, pengurusan tertinggi skuad Merah Kuning bakal diketuai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala pasukan Tok Gajah dikemudi Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu tidak menggunakan sistem pemilik tunggal seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dikuasai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mengikut nilai pasaran semasa di www.transfermarkt.com, Selangor dikatakan bernilai RM19.5 juta manakala Pahang pula RM14.2 juta.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pasukan Gergasi Merah itu tampil dengan pengurusan berbeza apabila menubuhkan syarikat bagi menguruskan kelab terbabit.

Beliau berkata, Tengku Amir Shah dijangka antara pemegang saham syarikat berkenaan yang berperanan menguruskan pasukan Selangor pada musim depan.

Katanya, FAS juga tidak ketinggalan mempunyai pegangan dalam syarikat terbabit dan perkara itu dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Segala-galanya ada kemungkinan dengan Raja Muda Selangor turut memegang saham selain anak syarikat swasta lain yang bekerjasama mentadbir dan menguruskan pasukan.

Tok Gajah dikemudi Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Tok Gajah dikemudi Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

I

"Pada masa sama, FAS juga sebahagian daripada pemegang taruh dan kita juga berbincang untuk membukanya kepada peminat Selangor.

"Saya tidak boleh katakan perkara itu dimuktamadkan kerana keputusan akhir belum dibuat manakala perbincangan masih berjalan," katanya.

Selain Tengku Amir Shah dan FAS, pemegang saham lain dalam perancangan kelab itu termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan bebas iaitu termasuk saham peminat.

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan bulan depan sebagai tempoh terakhir buat semua pasukan Liga M menswastakan pasukan dan kegagalan bertindak demikian menyebabkan pasukan berkenaan tidak dibenarkan beraksi di kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sementara itu, Pahang pula dikhabarkan dipimpin syarikat yang antara pemiliknya adalah Tengku Abdul Rahman.

Difahamkan Tengku Abdul Rahman yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) turut berkemungkinan bekerjasama dengan beberapa individu atau syarikat lain untuk memimpin skuad Tok Gajah pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:01 AM