X
DUA individu dari pasukan Atletico dikesan positif Covid-19. FOTO Agensi
DUA individu dari pasukan Atletico dikesan positif Covid-19. FOTO Agensi
AFP

KELAB Sepanyol, Atletico Madrid dilaporkan merekodkan dua kes positif Covid-19, empat hari sebelum bertemu Leipzig di Portugal untuk merebut tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Pada Sabtu kesemua anggota pasukan utama yang akan ke Lisbon menjalani ujian seperti yang dipinta oleh UEFA sebelum beraksi di saingan suku akhir Liga Juara-Juara.

"Antara keputusan yang diketahui hari ini, dua individu didapati positif dan mereka sedang menjalani proses kuarantin sendiri di rumah masing-masing," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Tidak didedahkan sama ada dua individu yang positif itu adalah pemain atau kakitangan sokongan.

Atletico berkata pihak berkuasa bola sepak dan kesihatan Sepanyol serta Portugis sudah dimaklumkan berhubung perkara itu dan satu lagi ujian akan dilakukan ke atas pasukan dan kumpulan sokongan.

Kes itu menyebabkan kelab terpaksa melakukan perubahan saat akhir berhubung jadual perjalanan serta tempat tinggal di ibu negara Portugal.

"Kelab akan menyelaraskan jadual baru bersama UEFA dan sebaik terdapat pelan baru, ia akan dimaklumkan kepada semua," kata kenyataan itu lagi.

Lapan perlawanan suku akhir yang akan berlangsung di Portugal akan dilangsungkan secara tertutup dengan aksi final berlangsung di Lisbon pada 23 Ogos.

Sepanyol setakat ini menjadi antara negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan 310,000 orang dijangkiti wabak itu dan merekodkan 28,500 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:33 AM