X
RONALDO (kiri) semakin hampiri rekod Pele. FOTO Agensi
RONALDO (kiri) semakin hampiri rekod Pele. FOTO Agensi
Agensi

CRISTIANO Ronaldo hanya kurang 30 jaringan untuk menyamai rekod jaringan perlawanan rasmi terbanyak 767 gol milik legenda Brazil, Pele.

Ronaldo ketika ini mengumpul 737 gol selepas dua jaringannya membantu Juventus menang 2-1 ke atas Lyon pada aksi timbal balik pusingan kedua namun masih gagal menyelamatkan kelabnya daripada tersingkir di saingan Liga Juara-Juara.

Pele dikenali kerana menjaringkan 1,286 gol sepanjang 1,363 perlawanan sekali gus menyaksikan namanya direkodkan di Guinness Book of Records.

Bagaimanapun 519 daripada gol itu adalah pada perlawanan persahabatan sekali gus ia tidak dikira sebagai gol pada perlawanan rasmi.

Ini bermakna, Ronaldo, 35, pasti akan memintas rekod Pele dalam tempoh dua tahun lagi dengan seteru utamanya, Lionel Messi, 33, berada di kedudukan kelima dengan 717 gol.

Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu pernah menyatakan dia mungkin akan terus beraksi sehingga mencecah usia 40 tahun.

Jika ia menjadi kenyataan, ramai yang menjangkakan Ronaldo mampu meledak lebih 800 jaringan sepanjang kariernya.

Poduk Sporting Lisbon itu sudah menunjukkan taringnya sepanjang dua musim bersama Juventus.

Dia menjaringkan 37 gol di semua perlawanan sekali gus muncul penjaring terbanyak Old Lady dalam tempoh semusim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 8:50 AM