EVENEPOEL memenangi Jelajah Poland. FOTO Agensi
EVENEPOEL memenangi Jelajah Poland. FOTO Agensi
AFP

RAKAN sepasukan Fabio Jakobsen di dalam pasukan Deceuninck-Quick Step, Remco Evenepoel memenangi Jelajah Poland hari ini manakala seorang lagi rakannya, Davide Ballerini memenangi peringkat kelima dan final di Krakow.

Jakobsen berdepan kecederaan serius selepas terbabit dengan kemalangan teruk pada hari pertama perlumbaan itu awal minggu lalu dan mula sedarkan diri daripada koma.

"Bagi pasukan, situasi paling sukar pada perlumbaan ini adalah memikirkan mengenai Fabio," kata Evenepoel selepas melakar kemenangan kesembilan musim ini.

"Kami mengharungi minggu yang cukup beremosi dan jika anda dapat saksikan bagaimana kami menamatkan saingan ini apabila memenangi dua peringkat perlumbaan berturut-turut, saya hanya boleh katakan bahawa kami mendominasi saingan ini," katanya.

Evenepoel yang berasal dari Belgium, mempunyai catatan masa 1 minit 52 di depan Jakob Fuglsang di tempat kedua manakala pelumba Britain, Simon Yates meraih tempat ketiga selepas lima hari saingan yang memasuki edisi ke-77 itu.

Pelumba pasukan Ineos, Richard Carapaz menarik diri selepas terbabit dengan kemalangan Sabtu lalu di sebalik muncul pendahulu keseluruhan sebelum Evenepoel merampas jersi kuning selepas mendominasi peringkat perlumbaan keempat.

Ballerini melakar kemenangan selepas menerima tentangan sengit menghampiri garisan penamat pada peringkat perlumbaan terakhir sejauh 188 kilometer itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 11:41 AM