AKSI Hafizh melayan selekoh di Litar Brno.
AKSI Hafizh melayan selekoh di Litar Brno.
Ferzalfie Fauzi

SEGALANYA sudah dilakukan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk memburu kedudukan terbaik di Grand Prix (GP) Republik Czech semalam, namun enjin baharu yang agak kurang baik berbanding di Jerez merencatkan sasaran lima terbaik.

Pelumba Openbank Aspar Team yang memulakan saingan petak keempat sudah melakukan pelbagai cara untuk mengejar pesaingnya apakan daya ia tidak menjadi dan hanya berpuas hati di kedudukan kesembilan kelmarin.

Bekas pelumba MotoGP itu mengakui detik kesukarannya bermula sejak di awal saingan lagi apabila gagal berlepas dengan baik di petak permulaan.

"Permulaan saya agak kurang baik, tidak cantik dan kurang sempurna. Jentera saya tidak mampu untuk menjana kuasa sebanyak mungkin," katanya selepas perlumbaan tamat di Brno semalam.

Hafizh tidak menyalahkan pasukannya kerana mereka sudah melakukan segalanya termasuk dari segi 'mapping' yang terbaik.

"Enjin yang saya gunakan di Brno agak berbeza berbanding di Jerez. Agak malang enjin lama mengalami kerosakan patah skru di bahagian dalam.

"Apabila menggunakan enjin baru saya sudah melakukan sedaya termampu termasuk menekan brek sedikit lambat. Saya sudah cuba yang terbaik dalam perlumbaan, termasuk meningkatkan kelajuan mengejar pelumba lain.

"Dari segi kelajuan memang boleh menduduki tempat lima terbaik tapi saya tidak boleh mengekori mereka terutama ketika laluan lurus, saya hanya berjaya mengejar rapat ketika situasi menekan brek.

"Jentera saya juga sudah beberapa kali mengeluarkan amaran kemalangan dann akhirnya saya menamatkan saingan di tempat kesembilan. Saya akan cuba berjuang dan mempertingkatkan prestasi menjelang perlumbaan seterusnya," kata Hafizh.

Kedudukan kesembilan menyaksikan Hafizh meraih tujuh mata dan selepas empat perlumbaan dia mengumpul keseluruhan 17 mata untuk berada di kedudukan ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:08 PM