CORREA (kanan) dan Vrsaljko tidak akan beraksi menentang RB Leipzig. FOTO Agensi
CORREA (kanan) dan Vrsaljko tidak akan beraksi menentang RB Leipzig. FOTO Agensi
Agensi

ATLETICO Madrid menarik nafas lega selepas ujian lanjut ke atas pemain dan staf kejurulatihan didapati negatif, sekali gus mendapat pelepasan terbang ke Portugal untuk aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig pada Jumaat ini.

Ujian dijalankan Sabtu lalu mendedahkan dua pemain dijangkiti koronavirus dengan Atletico mengesahkan hari ini mereka ialah Angel Correa dan Sime Vrsaljko.

Kedua-dua pemain akan terlepas aksi menentang Leipzig di Lisbon untuk mencari tempat ke separuh akhir.

Atletico dalam kenyataan berkata: "Kesebelasan utama dan staf kejurulatihan menjalani ujian baharu semalam dan keputusan kesemuanya negatif.

"Perkhidmatan perubatan kelab dibenar mendedahkan identiti bagi menamatkan spekulasi. Kesebelasan utama akan kembali berlatih hari ini tanpa Ángel Correa yang akan terus menjalani proses kuarantin di rumahnya dan Sime Vrsaljko yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan kekal di rumah.''

Kelab Sepanyol itu akan berlepas ke Portugal esok selepas jadual asal penerbangan malam ini ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 10:28 PM