NOKMAN Mustafa, Setiausaha KLFA.
NOKMAN Mustafa, Setiausaha KLFA.
Syazwan Msar


SIAPA kata pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak laku apabila sekurang-kurangnya enam pasukan termasuk Liga Perdana kini diintai syarikat korporat dan individu jutawan untuk mengambil alih kepimpinan skuad utama seterusnya memberikan nafas baru pada musim depan.

Malah, pasukan yang terhimpit dengan hutang puluhan juta ringgit tetap berjaya menambat hati syarikat dan individu untuk mengambil alih pasukan dengan masing-masing sudah pun 'merisik' pasukan berkenaan sejak diumumkan proses penswastaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Antara pasukan yang boleh dikatakan dalam radar syarikat korporat dan jutawan di negara ini adalah Perak, Kedah, Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengikut nilai pasaran semasa, Kedah berharga RM20 juta, Melaka RM19.3 juta, Perak RM16.5 juta, Kuala Lumpur RM10.9 juta, Pulau Pinang RM8.4 juta dan Kelantan RM3.6 juta.

Perkara terbabit diakui Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Hussin Deraman yang memberitahu bahawa pasukan Pantai Timur itu dirisik syarikat berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata, perkara terbabit agak mengejutkan pengurusan Kafa memandangkan pasukan itu dipalit pelbagai masalah namun masih lagi ada yang berminat mengambil alih skuad utama bagi mengharungi saingan liga musim depan.

Selain itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Mohamad Azlin Mohd Nadzri turut mengesahkan perkara terbabit namun syarikat yang berminat itu hanyalah merisik namun belum lagi melakukan perbincangan lanjut.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, ketika ini pihaknya mahu menapis terlebih dahulu beberapa syarikat yang sudah menyatakan minat untuk mengambil alih skuad utama ibu kota itu.

''Ada individu jutawan yang menyatakan kesediaan untuk mengambil alih Kuala Lumpur namun setakat ini tiada lagi kata putus kerana perlu melihat kepada terma dan syarat yang dipersetujui bersama nanti,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 10:54 PM