Aidil Sharin memberi arahan kepada pemain sebelum perlawanan menentang UKM di Bangi semalam. FOTO Ihsan KFA
Aidil Sharin memberi arahan kepada pemain sebelum perlawanan menentang UKM di Bangi semalam. FOTO Ihsan KFA
Izzali Ismail


TIGA jaringan pemain import Kedah pada aksi persahabatan menentang UKM FC di Stadium UKM, Bangi semalam membuktikan 'sengat' pemain skuad Lang Merah masih berbisa.

Kedah yang menewaskan skuad 'The Varsity Boys' kendalian Sulaiman Hussin, 3-1 petang semalam, menerusi jaringan Renan Alves minit ke-31, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman masing-masing pada minit ke-45 dan 78.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau mahu skuadnya meneruskan usaha membentuk persefahaman yang lebih baik dari hari ke hari sejak 'berehat panjang' selepas Liga Malaysia (Liga M) terhenti kerana Covid-19 sejak Mac lalu.

"Kombinasi pemain import dan tempatan kini kembali berada pada landasan terbaik, dan saya mahu mereka teruskan usaha meningkatkan lagi persefahaman yang baik seperti mana pencapaian yang ditunjukkan pada perlawanan semalam (menentang UKM FC) yang mana ini sesuatu usaha gigih dalam pasukan.

"Dalam perlawanan persahabatan menentang Perak II, Sabtu lalu, saya memberi peluang kepada semua pemain untuk turun beraksi bagi menyesuaikan diri dalam posisi masing-masing selepas lama tidak beraksi.

"Ukuran kemenangan bukanlah sasaran semata-mata tetapi tahap keserasian dan peranan semua pemain untuk mendapatkan kembali rentak beraksi sebagai satu pasukan adalah diutamakan. Aidil bagaimanapun tetap optimis dengan tahap perkembangan yang ditunjukkan oleh semua pemainnya selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan termasuk menentang Perak II di Manjung dengan sumbangan satu gol oleh import kuota Asean, Shakir Hamzah.

"Apabila kita tewas 1-2 kepada Perak II pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu lalu, kita dapat mengenalpasti setiap aspek kelemahan yang ada selepas skuad ini tidak beraksi penuh selama lima bulan.

"Walaupun kita kembali mencatat keputusan yang positif dengan menewaskan UKM FC dengan keputusan 3-1, kita tetap akan teruskan usaha memperbaiki setiap aspek kelemahan yang ada untuk pasukan sebagai persiapan menjelang pertemuan menentang PDRM FA pada aksi bersambung untuk Liga M pada 27 Ogos ini." katanya.

Kedah bakal menempuhi satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang di Stadium Darul Aman pada 19 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:00 PM