Rakaman titah Yang di-Pertuan Agong dilangsungkan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Rakaman titah Yang di-Pertuan Agong dilangsungkan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menyampaikan titah pada Majlis Anugerah SAM-100 Plus 2019 melalui rakaman video.

Majlis rakaman titah ini dilangsungkan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie berkata, rakaman titah ucapan baginda akan disiarkan kepada hadirin ketika Majlis Anugerah SAM 100-Plus 2019 yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara pada 1 September ini.

Hadir sama dalam majlis rakaman ini ialah Datuk Kamal Harun, Konsultan F&N iaitu penaja utama anugerah berprestij ini.

SAM amat menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda menyampaikan titah ucapan ini yang pastinya suatu amanat yang amat dinanti-nantikan oleh pengamal media sukan dan atlet negara kita.

Pada majlis yang sama tahun lalu yang juga disambut sempena meraikan Ulangtahun Ke-50 tahun penubuhan SAM, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.

Majlis Anugerah SAM-100 Plus kali ini akan dilangsungkan dalam skala kecil dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ekoran penularan wabak Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican dijangka hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 9:49 PM