X
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao. FOTO File NSTP
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


JUARA Divisyen 2 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Leong Jun Hao tidak akan menyerlah dengan mudah dan misi utama adalah mahukan kemenangan bagi membuktikan bahawa pemain muda negara juga mempunyai kualiti dan kelebihan tersendiri.

Kejayaan muncul juara membolehkannya beraksi di Divisyen 1 membabitkan cabaran pemain senior negara yang kini berkampung di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Juara remaja Asia pada 2017 itu akan berdepan pemain bebas, Liew Daren pada aksi pertama peringkat kumpulan.

Kata Jun Hao, selain pengalaman yang boleh diraih sepanjang perlawanan berlangsung, kehadiran pemain senior dalam saingan itu pasti memberi ilmu baharu yang boleh dipelajari oleh pemain junior.

"Saya akan memberi tentangan dan beraksi sehabis baik apabila turun bertemu Daren nanti. Jika boleh saya mahu menang perlawanan itu nanti.

"Biarpun tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini, tapi saya akan tetap akan memberikan cabaran untuk memastikan satu perlawanan yang berkualiti akan ditampilkan nanti," kata Jun Hao yang mahu memastikan kehadirannya dalam saingan Divisyen 1 bukan sekadar pelengkap jadual.

Selain Jun Hao turut layak beraksi di Divisyen 1 esok adalah Lim Chong King selepas muncul naib juara saingan Divisyen 2 minggu lalu.

Saingan Divisyen 1 akan menyaksikan semua lima acara dipertandingkan membabitkan 52 pemain kebangsaan termasuk lapan wakil profesional.

Antara wakil profesional yang akan mengambil bahagian adalah dua perseorangan lelaki, Daren dan Soong Joo Ven; dua beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin selain beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 10:12 PM