SERENA terjatuh ketika membalas hantaran Bernarda. FOTO AFP
SERENA terjatuh ketika membalas hantaran Bernarda. FOTO AFP
AFP

TEMPOH rehat enam bulan susulan pandemik koronavirus menjejaskan prestasi Serena Williams yang tampak berkarat namun masih mampu kembali mencatat kemenangan dalam aksi tiga set ketika menewaskan pemain ranking lebih rendah, Bernarda Pera untuk mara ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Pilihan Utama di Kentucky, awal pagi tadi.

Serena yang tidak beraksi secara kompetitif sejak Piala Fed pada Februari lalu terpaksa bangkit sebelum menewaskan pemain nombor 60 dunia, Bernarda 4-6, 6-4, 6-1 dalam masa dua jam 15 minit di Kelab Tenis Pilihan Utama di Lexington.

"Saya tidak beraksi sekian lama,'' kata Serena selepas tamat perlawanan. ''Baik untuk saya beraksi tiga set dan menang tiga set.''

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 38 tahun itu hampir tewas pada set kedua tetapi berjaya bangkit ketika ketinggalan 0-4 dan 4-4 sebelum mengekalkan momentum untuk menyamakan kedudukan.

"Saya gagal mendapat rentak yang bagus dan saya kata kepada diri sendiri 'Serena, bermainlah seperti ketika sesi latihan,'' katanya. "Saya tahu saya boleh beraksi dengan lebih baik jika dapat terus bertahan.''

Serena akan berdepan sama ada kakaknya, Venus atau Victoria Azarenka dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Kejohanan WTA minggu ini adalah yang pertama diadakan di Amerika Syarikat sejak pandemik Covid-19 menghentikan musim tenis awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:08 AM