Muhammad Sanusi (kiri) sedia berunding dengan mana-mana pihak yang berminat membeli atau menaja pasukan Kedah. FOTO NSTP
Muhammad Sanusi (kiri) sedia berunding dengan mana-mana pihak yang berminat membeli atau menaja pasukan Kedah. FOTO NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) sedia berunding bersama mana-mana pihak yang berminat membeli atau menaja pasukan Lang Merah yang kini dalam proses penswastaan.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran jutawan atau syarikat yang berminat berunding dalam merealisasikan penubuhan kelab itu.

Jelasnya, pihaknya setakat ini sudah menerima cadangan daripada sebuah koperasi tempatan yang berminat menubuhkan syarikat bagi menguruskan pasukan Kedah berstatus kelab.

"Kita terima banyak cadangan untuk memiliki kelab bola sepak Kedah ini, tetapi tidak boleh umum di surat khabar sahaja. Mana-mana jutawan atau yang berminat membeli atau menaja kena datang berjumpa untuk kita pertimbang.

"Kelmarin kita ada berunding bersama sebuah koperasi yang mengemukakan tawaran menubuhkan syarikat sendirian berhad. Di bawah koperasi ini, peminat akan didaftarkan sebagai ahli dan menyumbang dana terkumpul yang diguna menguruskan kelab," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Harian Metro hari ini, melaporkan pengasas syarikat kosmetik terkenal, D'Herb Holdings, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, mengakui masih berminat membeli skuad Lang Merah, sekali gus menjadi pemilik penuh pasukan Kedah seperti syarat penswastaan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain Kedah yang menjadi negeri kelahiran isterinya, Aliff juga dikatakan sedang meneliti pasukan lain dengan kriteria utama adalah mempunyai jumlah penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sehingga kini KFA masih membuka pintu rundingan dan sedia menerima kertas cadangan berkaitan penubuhan kelab terbabit dari pihak luar.

"Bagaimanapun, FAM ada menasihatkan agar setiap pasukan berhati-hati dalam menerima tawaran memiliki kelab bola sepak negeri kerana bimbang akan menyebabkan kerugian pula.

"Disebabkan itu kita dengar juga pandangan ini, namun pintu rundingan sentiasa terbuka sehingga penubuhan kelab dapat dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:30 PM