AKSI June Wei ketika menentang Liew Daren. FOTO Ihsan BAM
AKSI June Wei ketika menentang Liew Daren. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


DIA tahu dia perlu menunjukkan prestasi terbaik sekiranya berhajat untuk mewakili negara ke Piala Thomas, justeru itu yang dibuktikan oleh Cheam June Wei apabila melakarkan ketiga-tiga kemenangan dalam aksi saingan Divisyen 1 Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia.

Selepas menang dua perlawanan dengan kemenangan straight set semalam, June Wei mempamerkan permainan konsisten untuk menang menewaskan pemain profesional negara, Liew Daren, 21-17, 21-14, hari ini.

Dia menjadi calon pilihan untuk mara ke perlawanan akhir jika berjaya meraih empat kemenangan berturut-turut dalam aksi peringkat kumpulan dan dijangka akan bertemu Lee Zii Jia di pentas akhir.

"Saya gembira dengan prestasi saya setakat ini kerana kehadiran saya di sini bukan untuk suka-suka tapi dengan misi untuk memburu tempat dalam skuad Piala Thomas.

"Tapi lawan Daren juga tidak mudah. Dia bagi cabaran pada set pertama tapi mungkin kerana kepenatan berikutan jadual yang padat, dua perlawanan dalam satu hari membuatkan dia penat, jadi saya ambil kesempatan itu untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Untuk rekod, Jun Wei sebelum ini turut terpilih mewakili negara di Kejohanan Berpasukan Asia di Manila. Dia berjaya membuktikan keupayaannya dengan menewaskan lawan yang mempunyai nama besar seperti Jonatan Christie, Kenta Nishimoto dan Son Wan Ho.

Sementara itu turut melakar kemenangan ialah Leong Jun Hao yang mengetepikan Aidil Soleh Ali Sadikin 7-21, 21-17, 21-16 dan perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang menundukkan Eoon Qi Xuan 19-21, 21-10, 21-17.

Kejohanan jemputan itu menjadi antara medan buat barisan jurulatih memilih barisan pemain terbaik untuk ke Piala Thomas yang akan berlangsung di Denmark bermula 3-11 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:51 PM