DJOKOVIC tidak sabar untuk kembali beraksi di Terbuka AS. FOTO AFP
DJOKOVIC tidak sabar untuk kembali beraksi di Terbuka AS. FOTO AFP
AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic menyemarakkan lagi Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan berkata dia akan beraksi di saingan Grand Slam itu, manakala penyandang juara, Bianca Andreescu tidak mempertahan kejuaraan yang diraih tahun lalu.

Djokovic, yang juga juara Grand Slam 17 kali, menamatkan spekulasi dengan berkata dia akan bergerak ke New York esok dan beraksi dalam acara menyesuaikan diri di pusat kuarantin Covid-19 di Flushing Meadows menjelang saingan Terbuka AS pada 31 Ogos.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah dibuat dengan semua halangan dan cabaran dari pelbagai aspek. Bagaimanapun, peluang untuk membabitkan diri dalam pertandingan membuatkan saya berasa sangat teruja," kata juara tiga kali Terbuka AS itu.

Pemain Serbia berusia 33 tahun itu adalah satu-satunya ahli dari 'Big Three' yang akan mengambil bahagian dengan penyandang juara, Rafael Nadal mengambil keputusan tidak mempertahankan kejuaraan dan juara lima kali, Roger Federer bergelut dengan kecederaan lutut.

Turut mengambil bahagian adalah juara 2012 dari Britain, Andy Murray.

Terbuka AS kali ini tidak akan memperlihatkan penyandang juara Nadal dan juga Andreescu dari Kanada, yang berkata tidak dapat melakukan persediaan rapi selain daripada penularan Covid-19.

"Selepas beberapa perbincangan dengan mereka yang rapat dengan saya, saya terpaksa membuat keputusan sangat sukar iaitu tidak akan kembali ke New York tahun ini.

"Saya mengambil keputusan ini adalah kerana mahu fokus kepada kecergasan dan memastikan saya mampu kembali dengan memberikan aksi pada peringkat tertinggi," katanya yang menumpaskan Serena Williams 6-3, 7-5 dalam perlawanan akhir Terbuka AS tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 1:35 PM