X
HAFIZH cetus persoalan peminat pemotoran. FOTO Ihsan Intagram Hafizh Syahrin
HAFIZH cetus persoalan peminat pemotoran. FOTO Ihsan Intagram Hafizh Syahrin
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mula mencetuskan persoalan berhubung masa depannya di Kejohanan Motosikal Dunia.

Menerusi status di Instagram story miliknya, pelumba Aspar itu memuat naik gambar gaya termenung dengan kapsyen tertera: "Akhir 2020, 13 tahun dalam motorsports (sukan permotoran). Bye-bye.

"Kapsyen itu seolah-olah memberi gambaran bahawa tahun ini adalah musim terakhirnya di MotoGP.Hafizh akan beraksi pada Grand Prix Austria minggu ini selepas meraih penamat kesembilan di Brno minggu lalu.

"Di Austria saya harap dapat memperbaiki prestasi dan kompetitif sejak dari awal. Saya menggemari litar di sini. Pada 2017 iaitu tahun akhir di Moto2, saya beraksi dengan baik.

"Kini saya mahu bermula dengan baik dan terus mengekalkan prestasi sepanjang dua minggu di Red Bull Ring," katanya.

Sejak beraksi di pentas MotoGP bermula dengan tiket wild card pada 2011, pelumba berusia 26 tahun itu tidak pernah terlepas untuk beraksi di perlumbaan berprestij itu sehingga tahun ini.

Hafizh mula beraksi pada musim penuh sejak 2014 di pentas Moto2 bersama Petronas Raceline Malaysia dengan pencapaian terbaiknya adalah menamatkan saingan keseluruhan di tempat kesembilan pada 2016 dengan mengumpul 118 mata.

Dia kemudian berpeluang beraksi di kelas perdana MotoGP pada 2018 bersama Monster Yamaha Tech 3 dan menamatkan saingan musim itu dengan menduduki tempat ke-16 apabila mengumpul 46 mata.

Tahun lalu musim yang agak suram untuk Hafizh di kelas MotoGP apabila sekadar meraih sembilan mata selepas pakej jentera pasukan Red Bull KTM Tech3 miliknya tidak kompetitif.

Ketika masa depannya terumbang-ambing di kelas tertinggi itu, Hafizh mengambil keputusan kembali ke Moto2 dengan menyertai pasukan Aspar pada tahun ini tanpa memperoleh sebarang gaji.

Dia mengambil keputusan itu dalam usahanya untuk kembali ke MotoGP pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 2:15 PM