X
NORIZAM berminat memiliki Kelantan. FOTO Eizairi Shamsudin
NORIZAM berminat memiliki Kelantan. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mengkaji termasuk mendapatkan persetujuan ahli jawatankuasa tertinggi badan induk bola sepak negeri itu sebelum bersetuju menyerahkan The Red Warrior (TRW) kepada pakar pelaburan Norizam Tukiman.

Bukannya terlalu cerewet, sebaliknya tindakan terbabit adalah kerana terdapat permintaan daripada Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham yang dilihat agak sukar untuk dipenuhi pada masa akan datang.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya akan bermesyuarat terlebih dahulu dengan membincangkan permintaan berkenaan bersama ahli jawatankuasa lain.

Beliau berkata, sikap terburu-buru dengan terus bersetuju tanpa memikirkan risiko pada masa akan datang bakal menyebabkan timbul masalah lain sekali gus badan induk bola sepak negeri itu akan terjerat hingga terpaksa menanggung kerugian seperti yang berlaku sebelum ini.

"Ada antara permintaan Norizam yang agak sukar untuk kita penuhi iaitu memastikan Kelantan tidak terjerumus ke Liga M3 pada masa akan datang sekali gus perkara terbabit dilihat perlu dibincangkan secara lebih teliti.

"Kami sudah terima surat daripada Norizam dua hari lalu dengan turut menyatakan beberapa permintaan lain yang memerlukan persetujuan bersama.

"Setakat ini, dia cukup serius untuk mengambil alih Kelantan, malah turut mempunyai agenda dan perancangan yang lebih tersusun bagi membawa Kelantan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan tiga syarikat berminat memiliki pasukan terbabit selepas Wan Kamal Wan Napi menarik diri.

Daripada tiga calon berkenaan, salah satu daripadanya adalah Norizam yang juga usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel.

Norizam sudah mengadakan perbincangan awal bersama pengurusan KAFA sebelum ini namun setakat ini dilihat masih lagi belum menandatangani perjanjian bersama untuknya mengambil alih TRW.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:27 PM