STUART berkata Cheng Hoe (tengah) layak untuk terus membimbing Harimau Malaya. FOTO Aizuddin Saad
STUART berkata Cheng Hoe (tengah) layak untuk terus membimbing Harimau Malaya. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangan akan mengekalkan khidmatnya dengan menawarkan kontrak baharu bersama pasukan.

Kontraknya yang akan berakhir pada 31 Disember ini dijangka bakal disambung dan perbincangan yang sedang berjalan ketika ini dilihat cukup positif.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, meskipun skuad negara tidak mempunyai aksi kompetitif sepanjang tahun ini susulan penundaan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ke tahun hadapan ekoran pandemik Covid-19, badan induk itu akan menilai aksi terakhir pasukan untuk pencapaian Cheng Hoe.

Katanya, berdasarkan aksi terakhir Harimau Malaya pada saingan Kelayakan Piala Dunia pada November tahun lalu, jelas menunjukkan Cheng Hoe layak untuk terus membimbang pasukan.

"Bermakna saya ada lebih masa untuk berbincang dengan Cheng Hoe sebab dia mempunyai lebih masa di pejabat. Kami akan selesaikan perkara ini dalam masa terdekat dan memang perbincangan sedang berjalan.

"Saya rasa kita tengok daripada kedudukan skuad negara semasa awal tahun dan masa ini, kita dalam situasi positif pada bulan Januari yang lalu dan tiada tanda ke arah pergerakan negatif.

"Kami (FAM) ada hubungan baik dengan beliau dan begitu juga beliau. Saya rasa perbincangan dengan jurulatih Cheng Hoe adalah positif mengenai pergerakan ke hadapan bersama bukan apa-apa yang lain. Cheng Hoe masih berada di tempatnya," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, di sini.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Malaysia ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G di belakang Vietnam dengan mengumpul sembilan mata.

Kedudukan itu dilihat cukup baik dan anak didik Cheng Hoe berpeluang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan layak ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 sekiranya mampu memintas Vietnam selaku pendahulu atau sekurang-kurangnya menamatkan kempen sebagai naib juara kumpulan.

Untuk rekod, skuad negara masih memiliki baki tiga aksi Kumpulan G bertemu Emiriah Arab Bersatu, Vietnam dan Thailand yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan pasukan selepas penangguhan aksi kelayakan ke tahun depan, Stuart menjelaskan perkara itu masih dalam perbincangan.

"Macam kita dengar, penundaan perlawanan Oktober dan November ke tahun depan tanpa penetapan tarikh baharu dan kita tiada maklumat lagi.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk merangka perancangan terbaik untuk pasukan negara selepas ini. Kemungkinan ada kem latihan singkat kerana perlawanan persahabatan amat sukar untuk diadakan disebabkan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:34 PM