STUART bercakap pada sesi taklimat FAM bersama media bagi menjelaskan topik-topik semasa antaranya berhubung proses pemisahan dari FA ke FC, pelesenan kelab dan lain-lain di Wisma FAM, Kelana Jaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
STUART bercakap pada sesi taklimat FAM bersama media bagi menjelaskan topik-topik semasa antaranya berhubung proses pemisahan dari FA ke FC, pelesenan kelab dan lain-lain di Wisma FAM, Kelana Jaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim


TIGA pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berisiko untuk disingkirkan daripada saingan utama liga tempatan selepas langsung tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk menswastakan pasukan masing-masing.

Daripada tiga pasukan itu, dua adalah daripada Liga Super manakala satu pasukan datangnya daripada Liga Perdana dan tiga pasukan berkenaan bakal disingkirkan ke liga amatur atau lebih tepat Liga M3 pada musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya memandang serius dan akan sentiasa mengingatkan pasukan berkenaan segera bergerak ke arah penswastaan dengan langkah pertama harus memisahkan peranan Persatuan Bolasepak Negeri (FA) dengan kelab bola sepak (FC).

"Tetapi kami bekerja sama dengan pasukan-pasukan ini. Mungkin dia (tiga pasukan yang belum bergerak) ada alasan-alasan tersendiri di peringkat domestik mengapa ia belum dimulakan lagi.

"Tetapi kami bekerjasama dengan semua pasukan dan lima yang baharu bergerak dan tiga yang belum bergerak diharapkan mereka segera melakukannya.

"Tiga pasukan ini kena cepatlah sebab ia bukan sekadar kena daftar sebagai sebuah syarikat, ia juga kena melalui mesyuarat kongres, dapatkan keputusan exco dan semua itu memerlukan masa.," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, di sini.

Ketika diminta dedahkan nama tiga pasukan itu, Stuart enggan berkongsi namun berdasarkan tinjauan Arena Metro difahamkan salah satu pasukan itu adalah UKM FC dari Liga Perdana.

Mengulas permasalahan yang dialami pasukan berkenaan hingga gagal bergerak, Stuart menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menghalang pergerakan mereka.

"Permasalahan berbeza, mungkin dari segi pasukan belum membuat keputusan, mungkin pertukaran pengurusan yang memerlukan maklumat dan masa yang lebih dan ada satu yang enggan nak bergerak juga.

"Jadi kita akan tengok (memantau) dan lihat apa keputusan yang kita akan ambil nanti," katanya.

Sebelum ini, menerusi laporan akhbar ini pada 1 Ogos lalu, FAM memberi peringatan kepada lapan pasukan iaitu PDRM, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Sabah, Pahang, UiTM FC dan UKM FC yang masih belum memulakan proses penswastaan.

Hasil daripada pendedahan itu, kini lima pasukan sudah mula bergerak manakala tiga lagi masih belum memulakannya dan berisiko 'diturunkan pangkat' ke liga amatur musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:49 PM