CHONG King antara pemain yang menyerlah. FOTO Ihsan BAM
CHONG King antara pemain yang menyerlah. FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


JANGAN terlalu selesa dengan status sebagai perseorangan senior apabila pemain baru dan masih muda juga sudah mampu melakukan kejutan selain mula menunjukkan peningkatan untuk membuktikan keupayaan masing-masing.

Situasi terbabit dibuktikan menerusi Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali gus memberi peringatan bahawa mereka juga mampu beraksi cemerlang menewaskan pemain lebih senior.

Antara pemain yang mencuri tumpuan adalah bekas juara remaja dunia, Lim Chong King dan pelapis perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao serta Cheam June Wei yang jelas masing-masing mempunyai semangat juang tinggi untuk menundukkan lawan mereka.

Jurulatih perseorangan, Hendrawan berkata, kualiti pemain perseorangan negara termasuk pelapis semakin baik dengan mereka mempamerkan aksi memukau untuk menundukkan lawan masing-masing.

"Saya melihat setiap pemain memberikan komitmen tinggi dan mempunyai kemahuan untuk berlawan dan karakter ini penting untuk pasukan negara.

"Ini menjadi satu cabaran kepada pemain senior sekali gus memberi peringatan supaya tidak terlalu selesa dan perlu lebih berusaha," katanya, di sini.

Selain itu, Hendrawan berkata, antara faktor yang menyebabkan ramai pemain mengalami kecederaan adalah disebabkan rehat terlalu lama berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Rata-rata daripada mereka bergelut untuk mencapai tahap kecergasan sepatutnya malah ada antaranya kurang menjadi apabila tidak bermain tiga hingga enam bulan.

"Saya tidak mahu mencari salah namun akan perbaiki kelemahan dan berbincang dengan pemain bagi kembalikan prestasi masing-masing," katanya.

Sebelum ini, Lee Zii Jia tumbang kepada Soong Joo Ven dalam pertarungan tiga set. Joo Ven dipaksa bertarung selama 80 minit sebelum mengesahkan kemenangan 21-19, 11-21, 29-27.

Jun Hao pula mencuri tumpuan apabila menewaskan bekas pemain negara, Liew Daren pada saingan pembukaan Divisyen 1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 8:10 PM