NURUL Afiqah tidak dibenarkan beraksi pada pentas Sukma 2020 di Johor tahun depan. FOTO Ihsan MSNT
NURUL Afiqah tidak dibenarkan beraksi pada pentas Sukma 2020 di Johor tahun depan. FOTO Ihsan MSNT
Malik Muhamad


PELIK dan tidak masuk akal apabila dua atlet angkat berat Terengganu yang sudah tamat tempoh penggantungan iaitu Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dan Muhammad Azfar Kamaruddin tidak dibenarkan beraksi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung di Johor bermula 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Malah lebih mengecewakan Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Negeri Terengganu (PBBABT), Nurul Afiqah bagaikan dinafi haknya walaupun sudah pun beraksi mewakili negara pada pentas Sukan SEA di Filipina tahun lalu dengan menduduki tempat keempat.

Selain itu, dua atlet berbakat besar itu juga sudah menyertai pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan selepas tamat tempoh penggantungan selama lapan bulan dengan memperoleh pingat pada setiap kejohanan yang disertai.

Justeru tindakan yang diambil Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dengan tidak membenarkan dua permata berharga Terengganu beraksi dalam sukan itu bagaikan mempunyai agenda dan muslihat yang tersendiri kerana atlet berkenaan berpotensi meraih pingat emas dalam Sukma edisi ke-20 itu.

Presiden PBBABT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, beliau begitu kecewa dengan keputusan yang dibuat PABM yang dilihat tidak memikirkan dan mengambil kira potensi dan prestasi atlet itu demi negara.

"Saya hairan dan pelik dengan dengan keputusan badan induk angkat berat Malaysia itu yang tidak membenarkan dua atlet itu beraksi dalam Sukma sedangkan mereka sudah tamat tempoh penggantungan.

"Lebih pelik lagi apabila dua atlet itu sudah beraksi dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan selain Nurul Afiqah sendiri sudah mewakili negara pada pentas Sukan SEA.

"Malah lebih mengelirukan lagi apabila Nurul Afiqah dibenarkan untuk menyertai Program Latihan Atlet Negara (Atlet Kebangsaan) bagi persediaan ke temasya sukan antarabangsa pada tahun 2021 dan 2022.

"Sepatutnya dengan menyertai Sukma nanti ia menjadi medan kepada dua atlet itu untuk bersaing dan bukannya menutup periuk nasi dua atlet berpotensi itu.

"Lagipun sepanjang digantung selama lapan bulan, pihak kita tidak membuat sebarang rayuan selain dua atlet itu sendiri pun tidak melanggar sebarang kesalahan malah mereka mengikut peraturan yang ditetapkan walaupun tidak sengaja mengambil bahan terlarang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 8:45 PM