Pemain Manchester United, Bruno Fernandes (kiri) cuba memintas pemain FC Copenhagen pada aksi suku akhir Liga Europa, Isnin lalu. FOTO AFP
Pemain Manchester United, Bruno Fernandes (kiri) cuba memintas pemain FC Copenhagen pada aksi suku akhir Liga Europa, Isnin lalu. FOTO AFP
AFP

SAINGAN Liga Europa (UEL) mungkin tidak mampu menyaingi kemewahan dan glamor Liga Juara-Juara (UCL) namun penampilan Manchester United dan Inter Milan pada separuh akhir menjadi bukti terbaharu bahawa kelab gergasi Eropah semakin memberi tumpuan kepada kejohanan itu.

United akan berdepan Sevilla juara 2015 dalam saingan separuh akhir pertama pada awal pagi Isnin ini.

Sementara dalam satu lagi aksi separuh akhir pada hari berikutnya juara Ukraine, Shakhtar Donetsk akan berdepan gergasi Itali, Inter Milan.

Empat pasukan terbabit sudahpun mengesahkan tempat dalam saingan UCL musim depan.

Sememangnya ia perebutan trofi Eropah berprestij dan habuan wang yang menjadi impian setiap pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir sekalipun dalam suasana berbeza dengan kesemua perlawanan dilangsungkan secara tertutup di utara Jerman.

"Saya fikir adalah penting untuk memperoleh kemenangan kerana setiap pemain perlu faham bagaimana memenangi trofi untuk Manchester United," kata Bruno Fernandes ketika jaringan penalti masa tambahannya menyaksikan gergasi Inggeris itu mengetepikan FC Copenhagen pada saingan suku akhir.

"Saya fikir jika kami berjaya memenangi trofi itu, ia masih belum sempurna, tapi ia akan menjadi tahun yang baik untuk kami kerana Manchester United perlu bangkit semula untuk memenangi trofi dan bersaing di kejohanan Eropah."

United tidak memenangi trofi sejak menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali pada 2017.

Sevilla adalah 'raja' bagi kejohanan ini, memenangi lima kali sejak 2006 tetapi tidak memenangi sebarang trofi sejak kali terakhir menjulang trofi Liga Europa pada 2016.

Inter semakin mempamerkan peningkatan merapatkan jurang saingan dengan Juventus dalam musim pertama Antonio Conte mengambil alih tugas pengendali di Itali, tetapi mereka juga memburu trofi pertama sejak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 12:12 PM