Vertonghen (dua kiri), Waldschmidt dan Everton bersama jersi Benfica sambil diperhatikan wakil kelab itu. FOTO Benfica FC
Vertonghen (dua kiri), Waldschmidt dan Everton bersama jersi Benfica sambil diperhatikan wakil kelab itu. FOTO Benfica FC
AFP

BENFICA mengumumkan berjaya menandatangani pertahanan Belgium, Jan Vertonghen menerusi perjanjian tiga tahun selepas pemain itu meninggalkan Tottenham bulan lalu.

Vertonghen, 33, meninggalkan Spurs pada Julai selepas lapan tahun beraksi bersama kelab Liga Perdana itu.

Benfica turut mendapatkan khidmat penyerang Jerman, Luca Waldschmidt dari Freiburg dan sayap Brazil, Everton Soares dari Gremio dengan gabungan nilai 35 juta Euro (RM173.8 juta).

Kedua-dua pemain menandatangani kontrak sehingga 2025 bersama kelab Portugal itu.

Kehadiran mereka adalah yang pertama sejak kembalinya Jorge Jesus sebagai jurulatih kelab itu pada bulan lalu.

Pengendali berusia 66 tahun itu kembali membimbing kelab itu buat kali kedua, selepas memenangi tiga kejuaraan liga dalam tempoh enam tahun dari 2009 hingga 2015.

Benfica menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Porto musim lalu selepas aksi buruk pada awal saingan liga yang kembali bersambung pada Jun susulan penangguhan kerana Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 12:57 PM