MOHD Firdaus (kiri) berkata FAM sedia memberi khidmat nasihat dan melicinkan proses perbincangan bersama FA. FOTO Sairien Nafis
MOHD Firdaus (kiri) berkata FAM sedia memberi khidmat nasihat dan melicinkan proses perbincangan bersama FA. FOTO Sairien Nafis
Firdaus Hashim


MANA-mana jutawan, ahli perniagaan atau individu yang berhasrat untuk membeli pasukan Liga Malaysia (Liga-M) boleh merujuk status kewangan pasukan terbabit dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Malah, badan induk bola sepak negara itu turut sedia memberi khidmat nasihat dan melicinkan proses perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Negeri (FA) agar objektif penswastaan dapat diselesaikan dengan lancar dan tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, ketika ini sudah ramai pihak yang mula menunjukkan minat untuk melabur dalam saingan Liga-M.

Bagaimanapun, untuk mengelak pelabur yang berminat daripada 'lari' atau hanya mengadakan perbincangan sekerat jalan, pihaknya sedia membantu dengan menjadi tempat rujukan.

"Sekarang kita sudah nampak petanda positif apabila ramai ahli perniagaan mahu menyertai industri bola sepak.

"Tetapi kita juga tidak mahu rundingan antara calon pembeli dan FA itu hanya sekerat jalan oleh kerana mungkin adanya perkara-perkara yang dirahsiakan terutama soal sejarah tunggakan gaji dan sebagainya.

"Contohnya, mungkin FA terlupa yang mereka pernah sangkut tunggakan gaji pemain enam tahun lalu atau 10 tahun lalu. Bila pembeli dapat tahu sudah tentu mereka dah tak percaya dan tak jadi. Ia bukan saja merugikan pasukan, malah memberi kesan dan pandangan negatif kepada liga kita.

"Oleh itu, mereka boleh hubungi sekretariat kita (FAM) untuk semak latar belakang pasukan dan kita juga boleh jadi orang tengah untuk licinkan perbincangan dengan FA," katanya.

Sebelum ini, FAM memberi tempoh sehingga 30 September ini kepada semua pasukan Liga-M untuk membuat pemisahan antara FA dan FC.

Langkah itu selari dengan syarat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menetapkan semua pasukan perlu diswastakan atau tidak boleh menyertai saingan liga utama di negara masing-masing.

Gesaan itu tampak disambut baik ramai pihak termasuk jutawan dan ahli perniagaan tempatan yang berminat untuk melabur sekali gus menjadi pemilik pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 6:25 PM