ABDUL Puhat (tiga kanan) bersama barisan pemain Perak Bison. FOTO NSTP
ABDUL Puhat (tiga kanan) bersama barisan pemain Perak Bison. FOTO NSTP
Balqis Jazimah Zahari


PERAK Bison yakin dapat mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) Premier pada musim ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pihaknya mengakui persaingan liga musim ini dijangka lebih mencabar namun mempercayai kekuatan pasukan sedia ada untuk kekal mengenggam piala.

"STL pada tahun ini mungkin agak lebih mencabar lagi kerana kita tiada pemain import berbanding dahulu kita ada tekong import dan sebagainya.

"Difahamkan sekarang ini juga persiapan pasukan agak berbeza kerana dua pemain yang agak kuat dari Pulau Pinang (Black Panther) iaitu Syahir Rosdi dan Azlan Alias akan bermain dengan Kuala Lumpur (KL Thunder).

"Tetapi jangan lupa kita adalah juara bertahan, jadi kami akan berjuang bermatian-matian untuk memastikan piala itu dipertahankan," katanya pada sidang media pengumuman barisan pemain Sepak Takraw League di Hotel Casuarina, Meru di sini hari ini.

Abdul Puhat berkata, dengan latihan dan pengalaman kemenangan yang diperolehi pasukan sebelum ini, ia menjadi penyuntik semangat kepada setiap pemain.

"Saya memberi keyakinan teguh kepada pemain kerana mereka inilah yang bersama-sama ketika memenangi peringkat Liga Perdana STL 2017 dan juga tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Kapten pasukan, Mohamad Firdaus Hamid pula berkata, dia bersama pasukan akan memastikan dapat melakukan persembahan terbaik pada liga STL musim ini.

"Insya-Allah untuk tahun ini saya bersama rakan pasukan akan membuat yang terbaik untuk pasukan Perak Bison," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 9:35 PM