X
MESSI (kiri) kelihatan sedang duduk dengan wajah kecewa. FOTO Agensi
MESSI (kiri) kelihatan sedang duduk dengan wajah kecewa. FOTO Agensi
Agensi

LIONEL Messi tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa di bilik persalinan selepas Barcelona dimalukan 2-8 oleh Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Peminat setia kelab gergasi itu yakin Messi akan memikirkan untuk berhijrah ke kelab lain selepas kekalahan cukup memalukan itu.

Sekeping gambar menyaksikan Messi selepas tamat perlawanan tunduk kecewa di bilik persalinan.

Raut wajah pemenang Ballon d'Or sebanyak enam kali itu jelas seperti tidak mempercayai pasukannya kalah dengan jaringan yang besar.

Bekas bintang Manchester United, Rio Ferdinand turut menyokong sekiranya bintang Argentina itu mahu meninggalkan Barcelona.

"Apakah yang Messi fikirkan apabila pulang ke rumah nanti?

"Adakah dia mahu menghabiskan waktunya dengan terus memakai jersi sama selepas persembahan skuad ketika ini berbanding pasukan lain di Eropah?

"Adakah dia mahu terus setia dan menunggu?," katanya.

Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen juga kelihatan kecewa selepas gawangnya bolos lapan gol.

Terdapat laporan menyatakan kelab La Liga itu sudah memutuskan untuk memecat pengurus Barcelona, Quique Setien.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 10:00 PM