AKSI  Lukaku menjaringkan gol keempat Inter. FOTO AFP
AKSI Lukaku menjaringkan gol keempat Inter. FOTO AFP
AFP

ROMELU Lukaku melebarkan rekod jaringan Liga Europa miliknya kepada 10 perlawanan berturut-turut ketika membantu Inter Milan membelasah Shakhtar Donetsk 5-0 dalam aksi separuh akhir di Dusseldorf, awal pagi tadi.

Penyerang Belgium, Lukaku menjaringkan dua gol lewat pada babak kedua bagi membantu Inter mara ke final Eropah kali pertama sejak menjulang trofi Liga Juara-Juara 2010 ketika dikendalikan Jose Mourinho. Mereka akan menentang Sevilla di Cologne, Sabtu ini.

"Semuanya berjalan lancar seperti dirancang tetapi kami tetap terus berjuang. Rekod menunggu untuk dipecahkan tetapi kami mahu menang,'' kata Lukaku kepada BT Sport. "Kami perlu mempersiapkan diri kami dengan baik dan kembali beraksi.

"Pasukan melakukannya dengan bagus dan semua pemain beraksi dengan penuh komitmen. Kami bekerja keras ketika di kem. Ia memenatkan tetapi anda boleh lihat hasilnya. Kami akan teruskan kemaraan ini.''

Lukaku meningkatkan jaringannya kepada 33 gol dalam musim pertama bersama Inter, kurang satu berbanding rekod milik bekas bintang Brazil, Ronaldo yang membawa Nerazzurri menjulang trofi Piala Uefa 1997/98.

Lautaro Martinez turut menjaringkan dua gol ketika membelasah Shakhtar. Dia dan Lukaku muncul gandingan pertama Inter menjaringkan 20 gol atau lebih dalam satu musim sejak Adriano dan Obafemi Martins melakukannya pada kempen 2004-05.

"Saya adalah penyerang dan tugas saya di sini menjaringkan gol, ia ada dalam diri saya,'' kata Lukaku.

"Malam menakjubkan, sesuatu yang kami impikan,'' kata Matinez pula yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona bagi menggantikan Luis Suarez.

"Kami membuktikan Inter sedia mencipta kehebatan dan kami bersedia untuk final.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 7:50 AM