X
KHABIB akan menentang Gaethje pada Oktober depan. FOTO Agensi
KHABIB akan menentang Gaethje pada Oktober depan. FOTO Agensi
Agensi

KHABIB Nurmagomedov mengakui kematian bapanya memberi kesan kepada sesi latihan tetapi dia berharap kehilangan idolanya itu membuatkannya lebih kuat.

Abdulmanap Nurmagomedov meninggal dunia pada 3 Julai lalu pada usia 57 tahun akibat serangan jantung dan radang paru-paru selepas duji positif Covid-19.

Ramai berpendapat wira MMA, Khabib, 31, akan bersara selepas kematian bapanya yang tampak memberi kesan kepada karier dan saudara rapat.

Tetapi dia kini kembali menjalani latihan dan bersiap sedia untuk pertarungan lightweight menentang juara, Justin Gaethje yang menewaskan Tony Ferguson pada Mei lalu.

Pertarungan UFC 254 itu bakal berlangsung 24 Oktober dengan dua sepupu Khabib dan salah seorang rakan sepasukan juga dijangka menyertai pertarungan.

Bercakap di sidang akhbar semalam, Khabib mengakui kesedihan akibat kematian bapanya masih dirasai.

Katanya: ''Saya yakin semua orang dalam bilik ini pernah kehilangan seseorang. Rakan, jiran, sepupu, ibu, ayah, teman wanita. Semua orang mengalaminya. Saya faham.

"Tetapi dari satu segi, ia sangat sukar. Ada orang mempunyai hubungan agak renggang dengan bapa mereka tetapi bapa saya sangat rapat dengan saya.

"Kami seperti rakan, dia adalah bapa dan jurulatih. Kami kerap bersama dan sangat rapat.

''Sudah tentu saya sedih. Jika saya berkata ia tidak menjejaskan latihan saya, itu bohong. Ia menjejaskan saya, saya rindukan dia sepanjang masa.''

Abdulmanap menjadi watak penting di kem latihan anaknya dan pada hari pertarungan.

Untuk kembali ke oktagon buat kali pertama sejak kematian bapanya, Khabib berharap dapat menjadikan insiden kematian bapanya sebagai motivasi bagi meraih kemenangan dan melebarkan rekod sempurna 28-0 UFC.

Atlet Russia itu berkata: ''Mungkin kesedihan ini meletakkan saya pada tahap lebih tinggi dan menjadikan saya lebih kuat.

"Sebarang cabaran sama ada mematahkan anda atau menjadikan anda lebih kuat. Kita akan tunggu apa impaknya kepada saya.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 2:52 PM