MUHAMMAD Sanusi (kiri) berkata surat rasmi sudah dihantar kepada Aliff Syukri. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi (kiri) berkata surat rasmi sudah dihantar kepada Aliff Syukri. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) sudah menghantar surat kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman bagi mempelawa beliau untuk berunding mengenai hasrat membeli atau menaja pasukan Lang Merah.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, surat itu ditandatangani oleh beliau dan dihantar kepada hartawan itu minggu lalu.

"Apa yang KFA lakukan ini menunjukkan kita serius untuk berunding dengan sesiapa sahaja dan tidak mahu ia hanya menjadi tajuk di dada akhbar semata-mata.

"Kalau beliau mahu datang secara sukarela, kita ucap Alhamdulillah tapi jika beliau mahukan sesuatu yang boleh kita beri, insya-Allah kita usahakan tetapi kalau yang diminta itu sesuatu tak boleh diberikan, kita berhenti setakat itu sajalah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya dalam masa sudah berjumpa dengan ramai pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.

"Ada yang positif dan ada yang senyap begitu saja tetapi kita akan tetap teruskan perjuangan memantapkan pasukan ini," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan pengasas syarikat kosmetik terkenal, D'Herb Holdings itu mengakui masih berminat membeli skuad Lang Merah, sekali gus menjadi pemilik penuh pasukan Kedah seperti syarat penswastaan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain Kedah yang menjadi negeri kelahiran isterinya, Aliff juga dikatakan sedang meneliti pasukan lain dengan kriteria utama adalah mempunyai jumlah penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Pada 2016, Aliff pernah dikaitkan untuk menaja pasukan sama namun perbincangan antara kedua-dua belah pihak akhirnya menemui jalan buntu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 8:29 PM