ZARCO ketika sesi latihan bebas di GP Austria. FOTO AFP
ZARCO ketika sesi latihan bebas di GP Austria. FOTO AFP
AFP

PELUMBA MotoGP, Johann Zarco menegaskan bahawa 'anda tidak boleh menyertai sukan ini jika anda tidak berani mengambil risiko' selepas dia dikritik kerana menjadi punca terjadinya kemalangan ketika di kelajuan 300kmh sewaktu beraksi di Grand Prix Austria.

Pelumba berusia 30 tahun dari Perancis itu bertembung dengan Franco Morbidelli dari Itali di Litar Red Bull Ring Ahad lalu.

Kedua-dua mereka melambung dari motosikal masing-masing hingga ke seberang jalan di kelajuan 300 km/h.

Jentera Morbidelli yang melambung itu hanya beberapa sentimeter melepasi kepala Valentino Rossi mengakibatkan juara dunia sembilan kali dari Itali itu menggeletar dan menjerit jentera Yamaha itu 'hampir membunuhnya'.

"Zarco hampir menjadi pembunuh," katanya.

Zarco tidak menyertai sesi latihan bebas pada Jumaat lalu menjelang Grand Prix Styria, sirkit yang sama kerana melakukan pembedahan pergelangan tangan kanan pertengahan minggu lalu.

Tahap kecergasannya menjelang sesi kelayakan Sabtu dan perlumbaan pada Ahad ini akan dinilai hari ini.

Biarpun kurang beraksi dan pertemuan dengan pegawai perlumbaan - Zarco masih lagi mengatakan bahawa dia tidak bersalah.

"Bagi saya ia sudah jelas, anda tidak pernah mahu menjadi punca menyebabkan seseorang pelumba itu terkeluar daripada trek dan tiada apa yang berubah," kata pelumba Ducati sambil menegaskan pegawai perlumbaan tidak boleh memaksa ia mengubah pendekatannya.

"Jika mereka mahu memaksa saya, mereka tidak dapat melakukan apa-apa. Anda tidak boleh berfikiran seperti itu di atas motosikal.

"Jika seseorang menganggap saya berbahaya, tidak mustahil ia akan terjadi kepada orang lain yang membawa motosikal ini, anda tidak boleh menyertai sukan ini jika anda tidak mahu mengambil risiko."

Zarco mengatakan bahawa dia tidak bersalah ketika berlakunya insiden ngeri pada kelajuan yang sangat tinggi itu yang hampir terkena pada Rossi dan juga Maverick Vinales.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 9:03 AM