Jesus Navas (kiri) memegang trofi Piala Europa selepas Sevilla menewaskan Inter, 3-2 pada final pagi ini. FOTO AFP
Jesus Navas (kiri) memegang trofi Piala Europa selepas Sevilla menewaskan Inter, 3-2 pada final pagi ini. FOTO AFP
AFP

KAPTEN Sevilla, Jesus Navas dedikasi kejuaraan keenam Liga Europa kelabnya kepada bekas pemain Jose Antonio Reyes yang terbunuh dalam kemalangan kereta tahun lalu dan Antonio Puerta yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 2007.

Wakil Sepanyol itu menewaskan Inter Milan 3-2 dalam aksi final mendebarkan pagi ini.

Navas yang mengetuai jentera serangan pasukan itu memuji Reyes dan Puerta.

Reyes yang beraksi dalam tiga kejuaraan Liga Europa yang dimenangi Sevilla, maut pada Jun tahun lalu.

Puerta meninggal dunia pada usia 22 tahun selepas mengalami serangan jantung dalam satu perlawanan pada Ogos 2007.

"Kejayaan merangkul piala ini sebagai kapten Sevilla cukup besar maknanya bagi saya, buat semua orang, kepada rakan-rakan yang tidak lagi berada di sini - untuk Puerta, untuk Reyes," kata Navas.

"Dan kepada bapa angkat saya yang sudah meninggal dunia. Saya harap peminat Sevilla berbangga dengan kami. Kami menjulang trofi ini kerana kami semua mengetuainya."

Navas turut memuji jurulatih Julen Lopetegui, dua tahun selepas dimalukan kerana dipecat sebagai jurulatih Sepanyol menjelang aksi Piala Dunia 2018. Dia kemudiannya hanya bertahan selama 14 perlawanan sebagai bos Real Madrid.

"Lopetegui berkerja 24 jam sehari untuk Sevilla, dia berhak di atas kejayaan ini," kata Navas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 7:44 AM