Pemain Rennes, Damien Da Silva (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada aksi Ligue 1. FOTO AFP
Pemain Rennes, Damien Da Silva (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada aksi Ligue 1. FOTO AFP
AFP

RENNES yang bakal mengambil bahagian dalam Liga Juara-Juara buat pertama kali musim ini dan dalam sejarah kelab itu memulakan kempen Ligue 1 musim 2020/2021 dengan keputusan seri 1-1 di Lille, pagi ini.

Jonathan Bamba memberi gol pendahuluan buat tuan rumah menerusi rembatan leret selepas menerima hantaran Xeka, lima minit kemudian Rennes terpaksa beraksi 10 pemain susulan sepakan ala karate Sacha Boey terhadap pemain Lille, Reinildo.

Pemain antarabangsa Mozambique, Reinildo kemudian turut diperintah keluar padang dua minit sebelum rehat kerana melakukan kekasaran ke atas Raphinha.

Rennes mendapat satu mata selepas jaringan Damien Da Silva, yang menerima hantaran Eduardo Camavinga untuk menyamakan kedudukan ketika kedua-dua pasukan bermain 10 pemain.

Camavinga, 17, dilaporkan mahu kekal di Rennes walaupun laporan menyatakan ada minat ditunjukkan Real Madrid terhadap pemain tengah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 7:40 AM