Megat D Shahriman bersama bakat muda sukan hoki sempena Festival 5 Penjuru Hockademy
Megat D Shahriman bersama bakat muda sukan hoki sempena Festival 5 Penjuru Hockademy
BERNAMA

SELEPAS berjaya dengan penganjuran julung kali Festival 5 Penjuru Hockademy, kelab Hockademy berhasrat menganjurkan lebih banyak program pembangunan peringkat akar umbi, di masa hadapan.

Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang juga pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Hockademy menyasarkan untuk menganjurkan festival hoki seumpama itu tiga kali setahun.

Beliau berkata, festival sedemikian akan memberi pelbagai pendedahan berguna, selain menanam minat pemain muda terhadap sukan hoki sekali gus secara tidak langsung dapat mengembangkan bakat dimiliki mereka.

"Festival hari ini mengikut konsep di Eropah iaitu tumpuan diberikan kepada pemain Bawah 12 Tahun (B-12) dan 14 Tahun (B-14) dan kita hanya nak pastikan pembangunan pemain muda tidak terhenti.

"Pasca Covid-19 banyak aktiviti tergendala, jadi kami harap usaha ini dapat bantu pemain muda yang ingin bermain hoki. Paling penting mereka tahu adanya peluang untuk mereka menonjolkan bakat," katanya ketika ditemui pemberita pada festival itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Seramai 140 pemain membabitkan 23 pasukan lelaki dan wanita sekitar Kuala Lumpur, mengambil bahagian dalam festival sehari itu.

Mengulas lanjut Megat D Shahriman berkata, inisiatif dilakukan Hockademy itu antara lain sebagai usaha membantu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan hoki.

Jelas beliau, dengan usaha berterusan di peringkat akar umbi dapat melahirkan sejumlah kumpulan bakat yang berkualiti sekali gus memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan.

"Saya percaya kalau kita terus dengan usaha sebegini untuk tempoh lima hingga 10 tahun kita akan menjadi 10 terbaik dunia. Layak ke Piala Dunia atau Olimpik bukan satu lagi masalah pada waktu itu kerana pemain muda hari ini yang akan mewakili negara nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 3:15 PM