WAN Sukairi (kanan) harap campur tangan menteri berhubung dua atlet angkat berat Terengganu tidak dibenarkan beraksi dalam Sukma tahun depan. FOTO Ihsan MSNT.
WAN Sukairi (kanan) harap campur tangan menteri berhubung dua atlet angkat berat Terengganu tidak dibenarkan beraksi dalam Sukma tahun depan. FOTO Ihsan MSNT.
Malik Muhamad


BERANG dengan keputusan tidak adil Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang kekal dengan keputusannya tidak membenarkan dua atlet angkat berat Terengganu menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor tahun depan, kerajaan negeri Terengganu mengharapkan campur tangan segera daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi menangani isu berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, campur tangan daripada menteri adalah penyelesaian terbaik bagi membolehkan dua atlet angkat berat berpotensi Terengganu, Muhammad Azfar Kamaruddin dan Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dibenarkan beraksi.

"Kerajaan negeri dan warga sukan angkat berat begitu berharap Menteri Belia dan Sukan itu dapat campur tangan dengan segera dalam menangani isu ini bagi membolehkan dua atlet itu beraksi pada pentas Sukma edisi ke-20 nanti kerana ia merugikan negara dan melemahkan usaha-usaha pembangunan sukan ini oleh negeri-negeri khususnya Terengganu yang membuat pembangunan sukan angkat berat secara agresif sejak dulu lagi.

"Selama ini kita berdiam diri atas semangat kesukanan, walaupun kita mempunyai kes yang kuat, diharap dengan penjelasan ini akan dapat membuka mata semua pihak untuk mempertimbangkan kembali keputusan yang mencalar hati sanubari warga sukan angkat berat Terengganu.

"Ini kerana semua perbincangan dan mesyuarat-mesyuarat mendengar kes dan mesyuarat-mesyuarat untuk membuat keputusan berkaitan perkara itu tidak pernah memanggil wakil kerajaan negeri atau wakil Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk mempertahankan kes berkaitan isu doping yang sebelum ini dihadapi dua atlet itu," katanya ketika sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, beliau juga hairan dan pelik kenapa dua atlet itu tidak dibenarkan beraksi pada pentas Sukma 2020 sedangkan mereka sudah tamat menjalani hukuman penggantungan selama lapan bulan selepas didapati bersalah menggunakan bahan terlarang 'methylhexaneamie' iaitu sejenis 'specific stimulants' di bawah kelas S6, 2018 prohibited List yang diambil melalui `supplimen'.

"Malah atlet berkenaan juga sudah menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan manakala Nurul Afiqah sudah pun mewakili negara di pentas Sukan SEA Manila tahun lalu dengan meraih tempat keempat.

"Jadi persoalannya kenapa mereka tidak dibenarkan bertanding dalam Sukma Johor? Sedangkan mereka tamat menjalani hukuman penggantungan dan pun bertanding dalam kejohanan-kejohanan pada tahun 2019.

"Mungkin ada motif dan muslihat tertentu, inilah persoalan yang perlu dirungkai berikutan keputusan kurang bijak dan tidak adil badan induk angkat berat negara kepada atlet Terengganu yang pasti boleh merugikan semua terutama atlet itu sendiri yang sudah sekian lama berkorban," jelasnya.

Sebelum ini ketua jurulatih angkat berat Terengganu, Rahaimee Abd Rahim dan Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT), Mohd Shafaruddin Mustaffa tampil melahirkan rasa terkilan selepas rayuan mereka ditolak oleh PABM dengan tidak membenarkan dua permata Terengganu itu beraksi pada pentas Sukma tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 10:28 PM