AKSI  Coman (kiri) menanduk jaringan kemenangan Bayern. FOTO AFP
AKSI Coman (kiri) menanduk jaringan kemenangan Bayern. FOTO AFP
AFP

KINGSLEY Coman mengakui dia berasa agak sedih selepas jaringannya memusnahkan impian kelab zaman kanak-kanaknya, Paris Saint-Germain untuk menguasai Eropah.

Coman kelahiran Paris menanduk masuk jaringan tunggal di Estadio da Luz di Lisbon bagi membolehkan Bayern Munich mengungguli Liga Juara-Juara sekali gus dinobatkan pasukan terbaik Eropah buat kali keenam.

COMAN menjulang trofi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
COMAN menjulang trofi Liga Juara-Juara. FOTO AFP

"Perasaan sangat hebat, penuh kegembiraan tetapi sedikit sedih untuk Paris, mereka mengharungi kempen sangat baik,'' kata Coman kepada stesen penyiar Perancis, RMC.

"Hati saya 100 peratus bersama Bayern tetapi saya tak boleh menipu, melihat Presnel (Kimpembe) seperti itu dan melihat pasukan kami meraikannya, membuatkan saya agak sedih.

"Bayern menang tetapi anda perlu hormati apa yang dilakukan Paris.''

Kekalahan 0-1 PSG yang disertai Coman ketika berusia lapan tahun pada 2004 bermakna kemarau kejuaraan mereka dalam kejohanan itu berterusan sekali gus gagal merealisasikan impian pemilik kelab dari Qatar.

Bayern pula mengukuhkan reputasi mereka dengan melengkapkan treble kedua - Bundesliga, Piala Jerman dam Liga Juara-Juara tetapi Coman berkata, pengalaman tidak memberi kesan pada final.

"Saya fikir ia mungkin memberi kelebihan tetapi tidak pada perlawanan ini,'' katanya.

"Paris beraksi sangat baik, begitu juga kami. Saya fikir ia adalah final yang hebat dan kami sangat gembira.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 7:16 AM