AKSI Sofia di depan jaring ketika menentang Alize. FOTO AFP
AKSI Sofia di depan jaring ketika menentang Alize. FOTO AFP
AFP

PILIHAN utama, Karolina Pliskova dan pemain nombor dua dunia, Sofia Kenin tersingkir awal daripada Terbuka Western & Southern selepas tewas aksi pembukaan di Pusat Tenis Kebangsaan, New York.

Pemain Russia, Veronika Kudermetova yang menduduki ranking 41 dunia mengejutkan pemain nombor tiga, Karolina dari Republik Czech 7-5, 6-4 pada pusingan kedua, awal pagi tadi.

Pemain Perancis, Alize Cornet pula mencipta kemenangan pertama ke atas kelompok lima teratas dalam masa dua tahun dengan menewaskan juara Terbuka Australia, Sofia 6-1, 7-6 (9/7) untuk mara ke pusingan 16.

Sementara itu, pilihan keempat kategori lelaki, Stefanos Tsitsipas mengetuai kemaraan ke pusingan 16 selepas menewaskan finalis dua kali Grand Slam, Kevin Anderson 6-1, 6-3.

Bintang Greece, Tsitsipas hanya memerlukan 69 minit menamatkan cabaran Anderson.

"Ia perlawanan penting, dapat kembali ke sana dan kekal fokus. Usaha yang sangat bagus daripada saya,'' kata Tsitsipas.

Tsitsipas adalah pemain pertama dalam kelompok lapan pilihan utama lelaki selepas kesemua mereka mendapat bye di pusingan pertama.

Pemain nombor satu dunia dan pilihan utama, Novak Djokovic dijaduakan membuka tirai menentang pemain kelayakan, Ricardas Berankis hari ini manakala bintang Amerika Syarikat (AS), Serena Williams akan berentap di pusingan kedua menentang Arantxa Rus yang menewaskan Alison Van Uytvanck 6-2, 6-3.

Tsitsipas yang memburu gelaran ATP keenamnya akan berdepan pilihan ke-16, John Isner dari AS atau pemain Australia, John Millman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 11:37 AM