Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri. FOTO Ihsan MSNT
Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri. FOTO Ihsan MSNT
Malik Muhamad


PENGARAH Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu bersyukur dan lega selepas reaksi positif daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berhubung dua atlet angkat berat Terengganu yang tidak dibenarkan beraksi oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor tahun depan.

Beliau berkata, reaksi pantas daripada Ahmad Shapawi berhubung konflik 'panas' itu bagaikan memberi peluang kedua buat atlet berbakat negeri dan negara, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dan Muhammad Azfar Kamaruddin untuk beraksi di Sukma yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 14 Mac 2020.

Semalam Ahmad Shapawi menyatakan pintu buat dua atlet itu untuk beraksi pada Sukma 2020 tahun depan belum tertutup rapat lagi, sebaliknya MSNT boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Teknikal Sukma biarpun PABM menolak rayuan yang dikemukakan oleh MSNT dan Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) sebelum ini.

Malah tindakan yang diputuskan oleh PABM berhubung kemelut dua atlet itu adalah kurang tepat dan tiada hak kerana kuasa mutlak terletak kepada Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Teknikal Sukma yang akan bermesyuarat apabila wujudnya sebarang konflik membabitkan penyertaan atlet pada temasya itu.

"Kita berterima kasih kepada Datuk Ahmad Shapawi atas reaksi segera terhadap isu ini dan memberi ruang untuk rayuan agar kedua-dua atlet berpotensi besar ini dapat menyertai sukan dwitahunan di Johor tahun depan.

"Kita akan membuat rayuan kepada Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebagaimana yang disarankan oleh ketua pengarah MSN itu selain rayuan ketiga kepada PABM yang akan dibuat oleh PBBABT.

"Rayuan berkenaan akan dibuat segera manakala rayuan kepada Jawatankuasa Khas Teknikal dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan dibuat menjelang mesyuarat yang akan dimaklumkan nanti bagi membolehkan dua atlet berbakat itu kembali tersenarai dalam sukan itu.

"Sebagai rekod salah seorang atlet Pahang yang positif doping di Sukma Sarawak dan selepas tamat menjalani tempoh hukuman, atlet itu dibenarkan bertanding pada Sukma di Perak dua tahun lalu.

Jadi harapan kita keputusan yang dibuat biarlah konsisten tanpa mengira atlet itu datangnya dari negeri mana sebab akhirnya mereka akan mewakili negara Malaysia dan bukannya mewakili negara lain, lagipun dua atlet dari Terengganu itu tidak sengaja mengambil bahan terlarang itu yang ada dalam 'supplimen'," jelas Ibni.
Sebelum ini PABM menolak rayuan yang dikemukakan PBBABT dan MSNT berhubung penyertaan Azfar dan Afiqah bertanding dalam temasya Sukma tahun depan walaupun dua atlet itu sudah tamat tempoh penggantungan selama lapan bulan sesudah didapati bersalah menggunakan bahan terlarang 'methylhexaneamie' iaitu sejenis 'specific stimulants' di bawah kelas S6, 2018 prohibited List yang diambil melalui 'supplimen' pada temasya Sukma ke-19 di Perak 2018.

Nada sama juga diluahkan Presiden PBBABT, Mohd Shafaruddin Mustaffa yang gembira dengan reaksi positif Shapawi dalam menangani kemelut itu bagi membolehkan atletnya beraksi dalam temasya terakhir buat mereka.

"Harap impian dua atlet itu menjadi kenyataan dan kita akan bincang dengan MSNT untuk membuat rayuan kepada pihak berkenaan," katanya.

Sementara itu, dua atlet berkenaan enggan 'membuka mulut' sebaliknya menyerahkan kepada pihak MSNT dan PBBABT bagi membolehkan mereka beraksi dalam Sukma edisi ke-20 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 1:37 PM