VICTORIA raih kejuaraan percuma selepas Naomi menarik diri akibat cedera. FOTO AFP
VICTORIA raih kejuaraan percuma selepas Naomi menarik diri akibat cedera. FOTO AFP
AFP

PEMAIN tenis Jepun, Naomi Osaka menarik diri dari final Terbuka Western & Southern selepas mengalami kecederaan hamstring kaki kiri semalam, dua hari sebelum bermulanya Terbuka Amerika Syarikat.

Penarikan diri pemain nombor 10 dunia itu memberi ruang kepada Victoria Azarenka untuk merangkul trofi berkenaan.

"Saya minta maaf kerana perlu menarik diri akibat cedera. Saya mengalami kecederaan hamstring semalam kelmarin dalam aksi tiebreak set kedua dan ia tidak sembuh selepas semalaman seperti yang saya harapkan," kata Naomi.

Naomi yang juga pemain pilihan keempat Terbuka Amerikan Syarikat, dijadualkan untuk beraksi di pusingan pertama Selasa ini menentang rakan senegara, Misaki Doi, namun ia masih belum pasti sama ada dia sempat sembuh untuk turun ke gelanggang.

"Saya tidak pasti. Bagaimanapun, saya berharap dapat mempunyai peluang dan mempunyai masa yang cukup untuk sembuh," kata Naomi.

Dia berharap masa rehat yang panjang membolehkannya untuk sembuh dan berharap kecederaan berkenaan lebih baik menjelang Selasa ini.

Victoria, merangkul trofi pertamanya sejak kembali ke saingan jelajah selepas bergelar ibu, berharap Osaka sembuh dengan cepat.

"Saya berharap anda supaya cepat sembuh. Paling penting berlakunya sesuatu yang luar biasa dalam proses pemulihannya," kata Victoria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 8:21 AM