Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor
Noorazura Abdul Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) sedia mempertimbang hasrat Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) yang mahu memiliki 51 peratus saham dalam pemilikan pasukan Kedah menjelang proses penswastaan pada musim 2021.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata cadangan lisan yang dikemukakan KAKB sebelum ini sangat menarik dan pihaknya akan meminta koperasi itu menyediakan kertas kerja lengkap untuk pertimbangan lanjut.

"Dalam pertemuan sebelum ini, saya tertarik dengan cadangan mereka, jadi kita minta mereka untuk sediakan kertas kerja untuk dipertimbangkan mengenai hasrat memiliki 51 peratus saham selepas kita diswastakan nanti.

"Selain itu, ada juga individu dari Dubai selain pemilik kelab bola sepak di Australia yang mahu terbabit dengan bola sepak di sini. Kita terbuka walaupun mereka mungkin masih tak boleh ke sini, masing-masing boleh nyatakan minat menerusi e-mel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program sumbangan berupa peralatan kesihatan daripada Kelab Rotary Alor Setar untuk diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Wisma Darul Aman hari ini.

Pada 14 Ogos lalu, Ahli Lembaga KAKB, Shamsul Qamar Abd Rani berkata pihaknya menawarkan penyelesaian jangka panjang kepada kerajaan negeri Kedah iaitu pemilikan berasaskan penyokong Kedah atau FBO.

Katanya, melalui konsep itu, pegangan 51 peratus pemilikan diuruskan KAKB manakala sebahagiannya kerajaan negeri susulan kemelut kewangan KFA termasuk bebanan hutang RM10.6 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini KFA masih belum menerima sebarang jawapan surat yang dihantar kepada ahli perniagaan, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berhubung kenyataan dibuat jutawan kosmetik itu mengenai hasratnya membeli atau menaja Helang Merah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap pemain Lang Merah dapat terus mempamerkan aksi memberangsangkan selepas berjaya menewaskan PDRM 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Katanya pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi di padang ketika pihak pengurusan kini berusaha menyelesaikan satu demi satu hutang tertunggak.

"Untuk makluman, kita akan membayar baki 60 peratus gaji untuk bulan Mac pada Selasa ini. Pada hari sama, kita juga akan selesaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),"

"Hari ini kita mula membayar sebahagian daripada tuntutan hutang agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan membawa pasukan ke Korea Selatan bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Januari lepas. Insya Allah kita akan terus selesaikan tunggakan-tunggakan lain selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 9:49 PM