Christian Malcolm bekas pelari pecut Olimpik Britain. FOTO Agensi
Christian Malcolm bekas pelari pecut Olimpik Britain. FOTO Agensi
AFP

AUSTRALIA kehilangan khidmat jurulatih olahraga mereka kurang setahun sebelum Olimpik Tokyo ketika bekas pelari pecut, Christian Malcolm 'dipancing' negara kelahirannya Britain.

Jurulatih berusia 41 tahun dari Wales itu dilantik 18 bulan lalu untuk membantu atlet Australia lebih berdaya saing.

Bagaimanapun, selepas penangguhan Sukan Olimpik 2020 kepada setahun kerana pandemik Covid-19, dia kembali ke negaranya seterusnya dilantik sebagai Ketua Jurulatih Program Olimpik Atlet Olahraga United Kingdom (UK).

Ketua Atlet Olahraga Australia, Darren Gocher berkata pihaknya dalam usaha melantik pengendali dari Australia untuk menggantikan tempat Malcolm.

"Tumpuan utama kami adalah program musim panas akan datang dan Sukan Olimpik di Tokyo tahun depan," katanya.

"Atlet olahraga Australia berada dalam fasa dan sistem yang tersusun dengan bantuan jurulatih terbaik untuk memastikan mereka berada di landasan tepat menerusi program berprestasi tinggi yang disediakan.

Malcolm, bekas pemenang pingat kejohanan dunia, saingan Eropah dan Sukan Komanwel serta beraksi di dua temasya Olimpik, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ketua teknikal bagi acara pecut berganti-ganti untuk Atlet Olahraga UK.

"Sukar untuk saya jelaskan bagaimana teruja perasaan memperoleh peluang memikul tanggungjawab ini dan menjadi sebahagian daripada permulaan baharu bagi atlet olahraga British," kata Malcolm menerusi kenyataan dikeluarkan Atlet Olahraga UK.

"Dalam semua tugas sebagai penasihat dan jurulatih setakat ini, saya hanya mahu membantu atlet olahraga mengurangkan kesilapan yang saya lakukan dan memberi galakan kepada mereka serta jurulatih untuk menterjemahkan yang terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 11:44 AM