Malik Muhamad


BEKAS jurulatih hoki berpengalaman kebangsaan, Tai Beng Hai disambar pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu bagi mengendalikan skuad Piala Razak edisi ke-58 yang bakal bermula 18 hingga 28 September ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jurulatih berusia 55 tahun kelahiran Perak itu yang pernah membimbing pasukan kebangsaan ke pentas Liga Hoki Dunia pada 2016 akui begitu teruja dan gembira diberi kepercayaan oleh Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) untuk membimbing skuad itu buat kali pertama dalam kariernya.

"Ini kali pertama bimbing pasukan Piala Razak Terengganu dan saya lihat Terengganu sebuah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai pemain berbakat termasuk pemain kebangsaan serta pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Sekolah Sukan Bandar Penawar).

"Jadi peranan kami perlu gabungkan mereka untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap dalam saingan Piala Razak. Lebih-lebih lagi pemain sedia ada yang mempunyai pengalaman sudah tentu boleh membantu pasukan dan juga membimbing pemain baharu.

''Tapi kita akan membuat pemilihan muktamad pemain yang bakal menggalas tugas pasukan Terengganu sedikit masa lagi mengikut prestasi semasa mereka,'' katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tajaan Jersi Pasukan Hoki Piala Razak Terengganu di Stadium Hoki Batu Buruk, kelmarin.

Ketika ditanya peluang Terengganu untuk merangkul kejuaraan musim ini selepas hanya menduduki tempat ketiga musim lalu dan naib juara pada 2018, Beng Hai yang dibantu penolongnya, Nordin Musa enggan mendabik dada tapi beliau akui peluang cerah buat pasukan itu untuk mencipta kejayaan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 6:19 PM