KLOPP enggan seperti Chelsea. FOTO Agensi
KLOPP enggan seperti Chelsea. FOTO Agensi
Agensi

LIVERPOOL tidak seperti pencabar lain yang berbelanja besar musim ini tetapi Jurgen Klopp menegaskan ia kerana mereka adalah kelab yang berbeza.

Menurutnya, mereka tidak akan sesekali menjadi seperti Chelsea sambil membayangkan Frank Lampard akan berdepan dengan tekanan.

Timo Werner dan Kai Havertz yang sebelum ini dikaitkan dengan Liverpool antara pembelian mewah yang tiba di Stamford Bridge.

Manakala Klopp hanya menandatangani pertahanan kiri, Kostas Tsimikas dalam skuad utamanya dengan yuran hanya £11.7 juta (RM63.39 juta).

Tetapi dia percaya momentum dan semangat tinggi memberikan mereka kelebihan untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana tidak seperti kelab yang dimiliki negara dan oligarki.

''Kita tinggal di dunia yang berdepan banyak ketidakpastian,'' kata Klopp kepada BBC Five Live.

''Kepada beberapa kelab ia mungkin kurang penting hakikat ini: (kelab) yang dimiliki negara, oligarki tetapi itulah hakikatnya. Kami daripada kelab berbeza.

''Kami mara ke final Liga Juara-Juara dua tahun lalu dan menjuarainya setahun kemudian dan menjadi juara Liga Perdana musim lalu dengan cara dan apa yang kami ada.

''Kami tidak boleh mengubahnya dalam satu malam dan berkata, 'jadi kami sekarang mahu seperti Chelsea. Kini mereka menandatangani ramai pemain.

''Ia mungkin memberi kelebihan tetapi mereka juga perlu cergas bersama secepat mungkin, ia bukan hanya membawa masuk kualiti.

''Anda tidak boleh membawa masuk 11 pemain terbaik dunia dan berharap hanya seminggu selepas itu mereka dapat mempamerkan aksi terbaik. Ia mengenai kerjasama di padang latihan.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 2:26 PM