Pemain Kedah, Kpah Sherman (depan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam salah satu aksi Liga Super. FOTO NSTP
Pemain Kedah, Kpah Sherman (depan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam salah satu aksi Liga Super. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


TIADA pindaan jadual berlaku buat masa ini membabitkan perlawanan Liga Super di antara pasukan Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 September ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan terkini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah yang berkuat kuasa mulai semalam sehingga 25 September.

Jelas Ghani, pengendali Liga Malaysia (Liga-M) itu akan mengikuti perkembangan PKPD di daerah Kota Setar serta sentiasa berhubung dengan pasukan Kedah dan pasukan lawan untuk memastikan segala maklumat semasa dapat dikemaskini sebelum memutuskan sebarang perubahan jadual disebabkan pandemik Covid-19.

"Buat masa ini, jadual di antara pasukan tuan rumah, Kedah dan Sabah pada 19 September adalah kekal dan tidak berubah.

"Namun MFL memandang serius perkembangan terkini apa yang berlaku di Alor Setar di mana kami akan mengambil pendekatan meninjau situasi Covid-19 daripada masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan rasmi, semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau juga tidak menolak berlaku perubahan jadual Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar jika situasi pandemik Covid-19 menjadi semakin serius.

Katanya, beberapa mekanisme sudah dikaji membabitkan pertemuan Kedah dan Sabah itu jika perubahan jadual Liga Super dibuat disebabkan PKPD di daerah Kota Setar, Kedah itu.

"MFL akan memantau perkembangan semasa. Jika ada kelonggaran kemasukan pasukan di daerah PKPD seperti yang dilaksanakan sebelum ini di mana perlawanan Sarawak United FC menentang Selangor II di Kuching, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, saya fikir tiada masalah.

"Namun jika ia tidak mendapat kebenaran kerajaan, MFL sudah pun mengkaji beberapa mekanisme lain termasuk bermain di luar negeri berkenaan.

"Saya cuma berharap kesemua pasukan memahami dan tidak mempertikaikan jika ada berlaku perubahan jadual Liga Super nanti kerana kita sedang berdepan masalah pandemik dan PKPD di daerah Kota Setar, Kedah.

"Jadi marilah kita sama-sama berdoa agar penularan Covid-19 di negara dapat dibendung bukan hanya untuk memastikan kelancaran Liga-M tapi apa yang lebih penting adalah demi keselamatan dan kesejahteraan kita semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 5:54 PM