Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib. FOTO File NSTP
BERNAMA

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) berpendapat, menangguhkan Piala Thomas dan Uber yang dijadual di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober ini, dilihat sebagai keputusan yang lebih tepat, dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, ini kerana sekiranya berlaku insiden tidak diingini ketika kejohanan itu berlangsung, ia akan menjejaskan imej badminton dan memberi kesan kepada kejohanan lain.

"Kita dah banyak kali berbincang mengenai Piala Thomas dan Uber dengan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kerana situasi wabak ini sentiasa berubah. Jadi kita lihat lebih baik tangguh.

"Kita lihat keadaan di negara lain juga belum pulih sepenuhnya. Kalau ada apa-apa insiden, ia akan jatuhkan nama baik badminton dan jejaskan kejohanan badminton di masa depan, jadi kita berharap mereka akan pertimbangkan untuk tangguhkan kejohanan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat bersama persatuan sukan kebangsaan (NSA) di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini.

Laporan media menyatakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkemungkinan besar umumkan keputusan menangguhkan kejohanan berpasukan lelaki dan wanita itu, untuk dianjurkan selepas Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual pada Julai tahun depan.

Ia berikutan beberapa negara seperti Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Australia dan Taiwan menarik diri daripada kejohanan berprestij itu, manakala pasukan gergasi seperti China dan Jepun juga dikhabarkan bakal mengikuti langkah itu.

Sementara itu, Nazifuddin berkata, keputusan muktamad mengenai tarikh Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang ditangguh dari 11-9 Julai ini ke 6-14 Mac tahun depan, akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang bakal dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai pertemuan bersama 56 NSA yang sedang berlangsung sejak minggu lepas, beliau berkata ia bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka, mengenai temasya Sukma yang dianjurkan sejak 1986.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 7:11 PM