JIMENEZ   (tengah) meraikan jaringan pertama Wolves. FOTO AFP
JIMENEZ (tengah) meraikan jaringan pertama Wolves. FOTO AFP
AFP

WOLVES tidak menampakkkan tanda keletihan apabila memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Sheffield United 2-0, awal pagi tadi. Selepas 34 hari tewas kepada Sevilla pada aksi terakhir musim 2019-20, skuad Nuno Espirito Santo tampak cergas daripada dijangkakan menerusi prestasi bertenaga di Bramall Lane.

Raul Jimenez dan Romain Saiss meletakkan Wolves di depan selepas hanya enam minit permainan bermula dan terus menguasai perlawanan di sebalik tempoh rehat yang lebih pendek.

SAISS  (tengah) menanduk masuk gol kedua Wolves. FOTO AFP
SAISS (tengah) menanduk masuk gol kedua Wolves. FOTO AFP

Ia permulaan terbaik buat Nuno yang menyambung kontrak baharu tiga tahun dalam misi memperbaiki kedudukan di tangga ketujuh musim lalu sekali gus membuktikan mereka mempunyai kualiti untuk mencabar kelayakan Eropah.

"Ini aksi pertama yang pantas, saya sangat bangga,'' kata Nuno. ''Karakter, cara mereka berusaha, bertahan sangat bagus.

"Kami harungi tiga musim yang hebat. Kami boleh mencipta sesuatu yang istimewa tapi perlu merendah diri dan tak boleh puas hati.''

Pengurus Blades, Chris Wilder berkata: "Untuk kembali pulih selepas permulaan buruk ketika menentang Wolves memang selalunya sangat sukar.''

Ketika permainan baru minit ketiga, Jimenez yang mendapat hantaran Daniel Podence bijak melepasi kawalan lawan dan meledak rembatan ke penjuru gawang.

Jimenez hampir mencetak gol kedua selepas itu namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Aaron Ramsdale yang tampil kali kedua buat Blades selepas berpindah semula dari Bournemouth pada penutup musim.

Tetapi dia gagal menyekat Wolves menggandakan kedudukan apabila tandukan Saiss yang mendapat hantaran sepakan sudut menerjah gawang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:39 AM