X
REMBATAN  Werner dihalang pertahanan Brighton, Ben White (kanan). FOTO AFP
REMBATAN Werner dihalang pertahanan Brighton, Ben White (kanan). FOTO AFP
AFP

TIMO Werner menegaskan dia akan cergas berdepan Liverpool Ahad ini selepas penyerang baharu Chelsea itu menamatkan perlawanan ketika menentang Brighton dengan ketulan ais di pahanya.

Werner yang tampil kali pertama dalam aksi Liga Perdana berjaya mendapatkan penalti disempurnakan Jorginho tetapi bintang Jerman itu mengalami kecederaan di kaki selepas dihalang penjaga gol Brighton, Mat Ryan dalam insiden itu.

Namun, pemain berusia 24 tahun itu berjaya menamatkan 90 minit permainan dan muncul salah seorang pemain paling cemerlang dalam aksi dimenangi Chelsea 3-1.

Ketika ditemui wartawan selepas tamat perlawanan, Werner berkata, dia dijangka cergas ketika menerima kunjungan juara Liga Perdana, Liverpool.

"Lutut penjaga gol itu terkena otot paha dan agak kuat,'' kata Werner kepada Sky Sports.

"Pergerakan saya terjejas selepas itu tetapi akhirnya saya gembira kami menang. Saya tak peduli masalah ini. Dalam masa satu minggu ia akan sembuh.

''Kami melakukan dengan baik hari ini dan saya gembira dapat penalti kerana ia penting untuk perlawanan.''

Salah seorang penyerang prolifik di Bundesliga sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Werner akui ia cabaran menarik untuk menyesuaikan diri dengan corak Liga Perdana.

"Permainan yang sangat berbeza. Terdapat lebih ruang tetapi Brighton memberi kami banyak masalah,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 10:17 AM