Barisan pegawai, jurulatih dan pemain Pahang Mammoth yang akan berentap di Kejohanan STL 2020. FOTO Mohd Rafi Mamat
Barisan pegawai, jurulatih dan pemain Pahang Mammoth yang akan berentap di Kejohanan STL 2020. FOTO Mohd Rafi Mamat
Asrol Awang


PENDATANG baru, Pahang Mammoth tidak gentar bakal berdepan cabaran getir pada Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 yang dijadualkan bermula Jumaat ini.

Pasukan yang dibarisi empat bekas pemain kebangsaan dan dua pemain berpengalaman diyakini dapat membantu Pahang Mammoth untuk melakar kejayaan membanggakan musim ini.

Pengurus pasukan, Ahmad Fitri Ali berkata, gandingan empat pemain baharu bersama dua pemain musim lalu diharap memperkasakan pasukan itu.

"Pada penampilan pertama saingan Liga Premier musim ini, kami akan memastikan perjuangan Pahang Mammoth bukan sekadar pelengkap jadual, malah akan memberi tentangan sengit kepada lawan.

"Dengan menyandarkan empat bekas pemain kebangsaan serta dua pemain berpengalaman, tiada yang mustahil untuk melakar keputusan membanggakan.

"Saya pasti dengan semangat dan mental akan lebih kuat, kami akan memastikan keputusan positif dicapai biarpun mengakui berdepan cabaran getir berdepan lawan yang lebih berpengalaman dan dibarisi pemain kebangsaan," katanya.

Ahmad Fitri ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pegawai, jurulatih dan pemain Pahang Mammoth, di Kuantan malam tadi.

Musim ini, Pahang Mammoth diperkuatkan empat bekas pemain kebangsaan iaitu Iskandar Zulkarnain Salim, Nor Yuslie Md Jusoh, Mohd Kamal Alfiza Shafie dan Izurin Refin.

Selain turut dibarisi dua pemain berpengalaman Muhammad Abu Bakar dan Muhammad Fakhrul Razi Ismail. Pasukan Pahang Mammoth dilatih Mohd Hirman Omar yang juga bekas pemain kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:51 PM