Syaidatul Afifah umum persaraan baru-baru ini. FOTO File NSTP
Syaidatul Afifah umum persaraan baru-baru ini. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


SETIAUSAHA Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) , Maradona Chok mengakui situasi skuad wanita negara selepas kehilangan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi bukan seperti yang ingin dimahukan mereka.

Beliau mengakui bahawa pemain mula memikirkan mengenai masa depan selepas beberapa kejohanan terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan akibat Covid-19.

"Mengenai situasi skuad tenpin boling wanita ini saya boleh katakan mereka membuat keputusan selepas memikirkan dari sudut perancangan jangka masa panjang," katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan badan sukan hari ini.

Ujar Maradona dengan Sukan Sea tahun depan dan Sukan Asia Hangzhou 2022 acara tenpin masih lagi menjadi tanda tanya.

"Jadi kejohanan rasmi selain Kejohanan Dunia dan Asia selepas ini mungkin di Sukan Sea 2025 dan Sukan Asia 2026, jadi kita perlu lihat bagaimana untuk mengekalkan motivasi pemain sepanjang tempoh berkenaan.

"Sama ada akan ada lagi pemain bakal bersara ia adalah satu soalan yang kami sendiri tidak boleh jawab. Keputusan Syaidatul Afifah sebelum ini juga sangat mengejutkan.

"Jadi kami perlu mempunyai atlet untuk masa akan datang. Apa yang kami lakukan sekarang adalah memberitahu Majlis Sukan Negara (MSN) agar tidak mengetepikan skuad pelapis.

"Kami sangat memerlukan mereka (skuad pelapis). Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku selepas ini, mungkin ada pemain yang mengakui sudah tidak mempunyai semangat mewakili negara," katanya.

Beliau berkata, walaupun persaraan pemain akan memberi kesan kepada MTBC dan ia situasi biasa ada pemain bersara serta datang dan pergi.

Badan induk berkenaan masih lagi kekal fokus dan tidak menekan butang panik kerana masih lagi mengharapkan skuad pelapis yang dilihat menunjukkan peningkatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:20 PM