PENGENDALI TFC, Nafuzi minta anak buahnya bangkit bertemu UiTM malam esok. FOTO MALIK MUHAMAD
PENGENDALI TFC, Nafuzi minta anak buahnya bangkit bertemu UiTM malam esok. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain Terengganu FC (TFC) perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah terutama di dalam dan berdekatan kotak penalti kerana ia mampu menghadiahkan 'jaringan percuma' kepada pihak lawan.

Peringatan itu disuarakan ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang tidak mahu episod malang tewas dengan jaringan mudah kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu tidak lagi berulang apabila skuadnya berkunjung di Stadium UiTM Shah Alam bertemu UiTM malam esok.

Baginya kesilapan boleh dielak jika semua pemain lebih fokus dan mengamalkan komunikasi berkesan selain mengikut taktikal yang sudah dirancang sebagaimana ketika sesi latihan.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kelantan itu tetap menaruh kepercayaan yang tinggi anak buahnya mampu bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk merakam kemenangan.

"Kita tahu pasukan UiTM juga bukannya lawan yang mudah, pungutan mata pun sama dengan Terengganu, jadi saya lihat tugas berat menanti kami.

"Bukan UiTM saja, malah semua baki empat perlawanan lagi bukan tugas yang mudah kerana semua pasukan kini bertungkus-lumus memburu kemenangan untuk berada di tempat terbaik Liga Super, lagi pun liga hanya dilangsungkan pusingan pertama sahaja.

"Justeru kita perlu melakukan persiapan yang rapi selain tidak melakukan kesilapan mudah yang mungkin boleh membawa padah buat pasukan selain pemain perlu fokus 100 peratus setiap masa bagi memastikan tidak dihukum lawan kerana kita perlukan kemenangan bagi mengintai kedudukan yang lebih baik dalam liga," kata jurulatih muda meningkat naik itu.

Sementara itu, pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahya mencabar barisan pemain skuad itu membuktikan kemampuan sebenar lebih-lebih lagi semua pemain berada pada tahap terbaik kecuali Babacar Diallo yang cedera.

Shahrizal turut menuntut barisan pemain tidak melakukan sebarang kesilapan sebaliknya perlu lebih fokus dalam misi mengintai kedudukan terbaik liga musim ini berbanding ketujuh musim lalu.

"Pemain perlu memberi tumpuan bertemu UiTM dengan baki empat perlawanan lagi dan jadikan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini sebagai pengajaran dan motivasi untuk memburu kemenangan.

"Apa yang kami harapkan ialah pemain perlu mempamerkan aksi sebenar mereka dengan meningkatkan prestasi kerana itu adalah jalan terbaik untuk memastikan impian kami tercapai," kata Shahrizal.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad Penyu itu berada di tangga kelima liga dengan mengumpul 10 mata hasil tujuh perlawanan dengan merakam tiga kemenangan, sekali seri serta tiga kali tewas.

TFC mampu berada di tangga kedua liga jika sekiranya mencatat semua kemenangan bertemu UiTM, PDRM, FELDA United dan terakhir dengan pasukan jiran, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 10:39 AM