Pemenang ujian masa berpasukan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan.
Pemenang ujian masa berpasukan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan.
Nazri Abu Bakar


TEAM Sapura Cycling (TSC) mengungguli acara ujian masa berpasukan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2020 dengan catatan satu jam 35 minit 31 saat di Melaka hari ini.

Sementara di tangga kedua PDRM mencatat 1:40.36s dan Sabah ketiga dengan 1:45.35s.

Dalam acara wanita pula Terengganu A menjuarai saingan dengan catatan 1:08.32s diikuti Selangor A kedua (1:10.49s) dan Johor A ketiga (1:12.37s).

Turut berlangsung acara ujian masa individu master lelaki yang menjadi milik pelumba Selangor, Norhasmat Abdul Aziz dengan catatan masa 43.40s diikuti kedua Mohd Razif Mohd Salleh (Johor Masters) 44.15s dan ketiga Isma Rizuan Mohammad Esa (Selangor) 44.50s.

Pemenang menyarung sendiri medal kemenangan. FOTO Nazri Abu Bakar
Pemenang menyarung sendiri medal kemenangan. FOTO Nazri Abu Bakar

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab berkata, kejohanan yang berlangsung sehingga Ahad itu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, ia termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan penggunaan cecair sanitasi malah dengan penyampaian hadiah secara normal baharu.

"Apa yang membanggakan peserta dan semua yang terbabit tidak janggal mematuhi normal baharu berkenaan walaupun ianya pertama kali dilalui.

"Justeru, saya yakin kejohanan akan berlangsung dengan lancar menerusi SOP yang ditetap dalam masa sama tidak mengganggu komitmen semua yang terbabit menjayakan kejohanan yang amat berbeza daripada sebelum ini," katanya.

Lebih menarik pemenang juga menyarung sendiri medal kemenangan masing-masing sebagai mematuhi garis panduan kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:45 PM